Ahad, 25 Mac 2018

MENGENANG CITRA CIK SITI WAN KEMBANG


BARI CINTA DAN SETIA
DI TANAH SERENDAH SEKEBUN BUNGA

Semilir angin di Gunung Chinta Wangsa
mendendangkan lagu sepi nyanyian perindu
kasih Cik Siti Wan Kembang
mengambang bagai bulan lara di jendela duka
yang terbuka, ketika kijang cerdik
dari Gunung Ayam tak termakan daun resah
bersepah di laman nurani Paduka Cik Siti.

Raja Loyor melihat segumpal gundah
di wajah Cik Siti Wan Kembang
lalu memohon Puteri Saadong mustika hati
meninggalkan Kota Jembal menjadi penyeri
di taman mimpi Paduka Cik Siti.

Dalam meniti usia dara, Puteri Saadong
menyerlah jelita jiwa dan ayu rupa membugar
gelora rasa para peria.

Saat itu, Raja Abdullah bijak menyusup kata
ke hati Paduka Cik Siti, menjerat rasa
Puteri Saadong dalam jebak cinta.

Berangkatlah dari Gunung Chinta Wangsa
membawa karak rindu yang menyala-nyala
menerangi Kota Tegayong dan Kota Jelasin
wilayah pinggiran Kota Mahligai.

Maharaja Siam berhati hitam mengidam cinta
tercela. Dengan seribu helah, Raja Abdullah
dan Puteri Saadong terpisah. Biarpun jasad
terdera di negeri Gajah Putih, namun kasih
pada Raja Abdullah tak pernah tersisih.

Tatkala pulang bebas ke Kota Jelasin
Puteri Saadong berduka pelamin cinta telah
tiada. Lalu merah darah Raja Abdullah
pada cucuk sanggul Puteri Saadong
menjadi tanda kesetiaannya berbicara.

Puteri Saadong,
kau semadikan sekujur duka lara tanpa pusara
di puncak Bukit Marak. Cik Siti Wan Kembang,
kau tercari kebahagiaan hakiki buat mengisi
jasad yang sepi.

Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang
lambang cinta dan setia
di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

M. ARIF
Padang Mokan, Kelantan

HEBATKAH CIK SITI WAN KEMBANG?



Cik Siti Wan Kembang: Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah


(https://www.google.com)

Pemerintah yang adil, bijaksana, berpegang teguh dengan tali Allah, hebat dan tangkas bermain senjata serta elok rupa parasnya, itulah gambaran peribadi Cik Siti Wan Kembang yang diketengahkan dalam Novel Drama Sejarah Cik Siti Wan Kembang. Perihal kehebatannya ini telah menjadi siulan masyarakat di seluruh Tanah Melayu dan diceritakan kepada khalayak umum daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dekad pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Tanah Serendah Sekebun Bunga, iaitu daripada tahun 1610 sehingga 1677 telah berjaya memanifestasikan kegemilangan dan kemakmuran negeri Kelantan sehingga dikatakan terdapat saudagar-saudagar yang sanggup merosakkan kapal dagangnya kerana mereka tidak mahu meninggalkan bumi Kelantan.



Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah jelas terlihat dalam Novel Drama Sejarah Cik Siti Wan Kembang. Watak Cik Siti Wan Kembang telah menjadi tumpuan pengarang dengan menunjukkan sifat-sifat kewibawaan, kekentalan dan kebijaksanaan beliau dalam memerintah sebuah negeri bernama Kelantan atau turut dikenali sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga. Keperibadian Cik Siti Wan Kembang ini juga telah didorong oleh sifat mulia yang ada pada diri ayahandanya sendiri, iaitu Sultan Ahmad. Sultan Ahmad tidak mempunyai putera. Lantaran itu, baginda telah mendidik puteri tunggalnya, Cik Siti Wan Kembang dengan sifat-sifat kepimpinan, ditambah dengan ilmu persilatan dan ilmu agama daripada para ulama kepada Cik Siti Wan Kembang sebagai bekal untuk memimpin negeri Kelantan. 


        Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah dapat dilihat melalui peribadi Cik Siti Wan Kembang iaitu sifat berani yang dimilikinya. Keberaniannya dalam bersilat dan berkuda telah mengangkat beliau sebagai puteri pahlawan. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa apabila beliau mencabar Jusuh untuk berlawan dengannya bagi menundukkan sifat keegoan dan keangkuhan Jusuh. Walaupun zahirnya Cik Siti Wan Kembang merupakan seorang perempuan tetapi beliau tidak lemah di hadapan lelaki apabila diajak untuk berlawan silat malah mencabar lawannya.

Seterusnya, dapat dilihat melalui sifat ketokohan yang ada dalam diri Cik Siti Wan Kembang. Beliau juga telah dimuliakan sebagai raja perempuan pertama di Kelantan. Pada zaman ketika itu, terdapat ramai saudagar yang datang untuk menjalankan perniagaan dan salah seorang saudagar Arab yang datang pada ketika itu telah memuliakannya Cik Siti Wan Kembang dengan panggilan “siti” yang membawa maksud wanita terpuji kerana beliau sangat kagum dengan sifat peramah dan mesra rakyat yang ada dalam diri Cik Siti Wan Kembang. Walaupun beliau bergelar wanita, namun rakyat sangat menghormati beliau kerana beliau juga merupakan seorang yang pantas dan bijak dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Cik Siti Wan Kembang terus menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat terutama sekali kepada kaum wanita. Sifat kecekalannya itu boleh dilihat ketika beliau memimpin negeri Kelantan di usia muda lagi, iaitu pada usia 19 tahun. Malah, Cik Siti Wan Kembang juga sanggup mengetepikan kebahagiaannya dan mengutamakan negeri. Hal ini demikian kerana Cik Siti Wan Kembang khuatir nasib rakyatnya jika beliau tersalah memilih pasangan hidup walaupun pada hakikatnya, hati Cik Siti Wan Kembang telah terpaut pada Tengku Ahmad dan ingin mengahwininya. Namun, beliau memilih untuk tidak terus berkahwin dengan Tengku Ahmad, sebaliknya memilih untuk memerhatikan tingkah lakunya bagi memastikan lelaki yang dipilihnya itu adalah lelaki yang baik. Malah, kecekalan hati Cik Siti Wan Kembang juga boleh dilihat apabila tidak terus mengalah dan menyalahkan takdir atas kemangkatan tunangnya yang dikasihi, iaitu Tengku Ahmad.

            Cik Siti Wan Kembang: Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah. Pemimpin yang disegani seharusnya menjadikan rakyat sebagai yang utama dengan menjaga kebajikan mereka dan memastikan keharmonian dalam komuniti masyarakat tersebut. Sifat-sifat kepimpinan inilah yang dimiliki oleh Cik Siti Wan Kembang yang membezakan beliau dengan pemimpin-pemimpin yang lain. Buktinya, dengan kudrat wanitanya, Cik Siti Wan Kembang mampu menyelesaikan pergaduhan dan perselisihan faham rakyatnya, iaitu pergaduhan antara Ali Ayam dan Jambul serta pertelingkahan yang berlaku antara Mat Amin dan Leh. Ternyata, dengan  kebijaksanaan yang dimiliki oleh Cik Siti Wan Kembang ini, beliau mampu menyelesaikan perbalahan itu dengan adil dan saksama. Tambahan pula, Cik Siti Wan Kembang juga sanggup membayar 15 ekor lembu kepada bekas tunang Toon yang bernama Liang untuk menebusnya. Hal ini demikian kerana Cik Siti Wan Kembang mengetahui penderitaan yang diambil oleh Toon apabila dipaksa menjadi isteri keempat Liang. Beliau juga sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya dengan menyuruh agar rakyat yang telah mempunyai tanah untuk tidak perlu berpindah ke Gunung Chinta Wangsa. Sifat terpuji Cik Siti Wan Kembang ini menjadikan beliau sentiasa dihormati dan disanjungi oleh seluruh rakyat jelata.

            Kesimpulannya, lagenda Tanah Serendah Sekebun Bunga ini, Cik Siti Wan Kembang akan terus diangkat namanya, dicontohi kewibawaannya dan terus disegani sepanjang zaman. Ternyata, status ‘pemimpin wanita’ tidak menghalangnya untuk menjadi seorang pemerintah yang lebih baik dan berwibawa menyamai pemerintah-pemerintah lelaki. Dapat disimpulkan bahawa untuk menjadi seorang pemerintah yang baik, kebijaksanaan, kecekalan, keberanian, agama dan ketokohan perlu diadun sebati bagi memastikan kegemilangan dan keharmonian sesebuah tamadun tersebut.   



Rujukan
Mohamed Zahir Haji Ismail. 1992. Cik Siti Wan Kembang. Kuala  Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia. 2014. Sejarah Cik Siti Wan Kembang. Diakses pada 23 March 2018 daripada http://www.pkprcswkm.com.my/home/info/#sejarah1.





Ahad, 11 Mac 2018

LANTERA KESUSASTERAAN..PENYAMBUNG E-SASTERA


Kukenang kerana kau pernah ada,
menyelinap, terselit di celah-celah hidupku.

Apabila berbicara soal SUSASTERA, bait-bait kata yang akan bermain di benak fikiran kita ialah ‘Sastera itu indah, halus dan berestetika’. Umumnya, perkataan susastera berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu ‘castra’. Susastera merupakan gabungan dua leksikal, yakni su + sastera.  ‘Su’ bermaksud indah, baik dan berfaedah manakala ‘sastera’ pula membawa erti huruf atau buku. Maka, dapat kita fahami bahawa susastera didefinisikan sebagai kumpulan buku yang indah bahasanya dan baik isinya. 

Kesusasteraan adalah cerminan jiwa getar sukma pengarang. Kesusasteraan harus tumbuh di tengah-tengah rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat yang menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerja cipta rakyat.
                                                                                  
                                                    (B. Simorangkir-Simanjutak, 1971)

Ternyata, sasteralah yang menjadi lantera, menerangi dan memberi nafas kepada sesuatu bahasa. Pengkarya pula merakam peristiwa zaman, lantas memanifestasikannya dalam tinta-tinta yang cukup indah sebagai satu bentuk halwa telinga kepada pembaca. Ilmu sastera ini dilihat terus berkembang seiring dengan peralihan zaman.

               
              
                                          Korban Hang Tuah
                                                    (Zurinah Hassan)                


                                          Jebat, tahukah betapa
                                          terseksanya aku
                                          bila bendahara membawa khabar
                                          tentang penderhakaanmu.

                                           Semalam aku tidak tidur
                                           gelombang serba salah menghempas
                                           ke dadaku
                                           menghempas ke dadaku
                                           aku menimbang dan mengenang
                                           kaulah sahabat yang kusayang
                                           bagaimana dapat kutusuk keris itu
                                           ke badanmu.

                                           Alangkah sukarnya membuat pilihan
                                           jika aku pulang membunuh Jebat
                                           aku akan kehilangan kawan
                                           tapi jika aku membiarkan kau
                                           menderhaka
                                           bangsaku akan kehilangan Tuah.

                                           Lalu aku pilih untuk mengorbankan
                                           sahabat kesayangan sendiri
                                           walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu 
                                           atau dikutuk kerana kesetiaan yang  melulu.
                 
                                           Biarkanlah
                                           kuharap di suatu waktu nanti
                                           bila bangsaku berpecah belah
                                           mereka akan menyedari
                                           bahawa si Tuah bukan menentang Jebat
                                           tetapi menentang penderhakaan dan  perebutan kuasa
                                           yang kupertahankan bukan raja
                                           tetapi kerajaannya
                                           tanpa kerajaan tidakkan wujud
                                           sebuah negara
                                           tanpa negara apalah ertinya sebuah bangsa.

                                           Jebat, aku mungkin tidak begitu
                                           bijaksana
                                           tapi inilah usaha terakhirku
                                           usaha terakhirku
                                           agar tanah airku tidak akan hilang
                                           kerajaannya
                                           bangsaku tidak akan hilang ketuanannya
                                           dan Melayu tidak akan hilang di dunia.



Pada hari ini, sastera terus ke hadapan dan mampu menyentuh hati-hati pengkarya dan pembaca sama ada yang telah mapan, mahupun yang masih baharu. Antara medium pengantara yang paling relevan dan signifikan dalam dunia sastera hari ini ialah sastera siber atau turut kenali sebagai e-sastera. Sastera siber ialah satu perkembangan fenomena dalam bidang sastera yang melibatkan kemudahan capaian internet untuk berkarya dan berupaya mewujudkan jaringan hubungan antara penulis-penulis baharu atau penulis mapan di seluruh dunia. Kebijaksanaan seseorang penulis itu menggunakan kemudahan yang tersedia dalam melebarkan bakat dan mencari pengalaman boleh direalisasikan dengan menggunakan sastera siber sebagai mediumnya. Hal ini demikian kerana bagi penulis-penulis baharu yang belum cukup kejituannya untuk meyakinkan penerbit-penerbit besar, menghasilkan terbitan sendiri baik dalam bentuk buku atau majalah mini, sastera siber ini menjadi alternatif yang sangat popular kerana dapat memberikan impak yang sungguh signifikan. 

Bagi memahami dengan lebih jelas, apakah yang dimaksudkan dengan e-sastera dan adakah e-sastera mempunyai kelebihan atau kekurangannya? Mari sama-sama kita saksikan ringkasan paparan sorotan kajian berikut:















KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...