Kukenang kerana kau pernah ada,
menyelinap, terselit di celah-celah hidupku.
Apabila berbicara soal SUSASTERA, bait-bait
kata yang akan bermain di benak fikiran kita ialah ‘Sastera itu indah, halus
dan berestetika’. Umumnya, perkataan susastera berasal daripada
bahasa Sanskrit, iaitu ‘castra’. Susastera merupakan gabungan dua leksikal, yakni
su + sastera. ‘Su’ bermaksud indah, baik
dan berfaedah manakala ‘sastera’ pula membawa erti huruf atau buku. Maka, dapat
kita fahami bahawa susastera didefinisikan sebagai kumpulan buku yang indah
bahasanya dan baik isinya.
Kesusasteraan
adalah cerminan jiwa getar sukma pengarang. Kesusasteraan harus tumbuh di
tengah-tengah rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat yang menggambarkan suka duka, harap
cipta dan kerja cipta rakyat.
(B. Simorangkir-Simanjutak, 1971)
Ternyata, sasteralah yang menjadi lantera, menerangi dan memberi nafas
kepada sesuatu bahasa. Pengkarya pula merakam peristiwa zaman, lantas
memanifestasikannya dalam tinta-tinta yang cukup indah sebagai satu bentuk
halwa telinga kepada pembaca. Ilmu sastera ini dilihat terus berkembang seiring
dengan peralihan zaman.
Korban Hang Tuah
(Zurinah Hassan)
Jebat, tahukah betapa
terseksanya aku
bila bendahara membawa khabar
tentang penderhakaanmu.
Semalam aku tidak tidur
gelombang serba salah menghempas
ke dadaku
menghempas ke dadaku
aku menimbang dan mengenang
kaulah sahabat yang kusayang
bagaimana dapat kutusuk keris itu
ke badanmu.
Alangkah sukarnya membuat pilihan
jika aku pulang membunuh Jebat
aku akan kehilangan kawan
tapi jika aku membiarkan kau
menderhaka
bangsaku akan kehilangan Tuah.
Lalu aku pilih untuk mengorbankan
sahabat kesayangan sendiri
walaupun kelak aku dituduh sebagai pengampu
atau
dikutuk kerana kesetiaan yang melulu.
Biarkanlah
kuharap di
suatu waktu nanti
bila bangsaku
berpecah belah
mereka akan
menyedari
bahawa si Tuah
bukan menentang Jebat
tetapi
menentang penderhakaan dan perebutan
kuasa
yang
kupertahankan bukan raja
tetapi
kerajaannya
tanpa kerajaan
tidakkan wujud
sebuah negara
tanpa negara
apalah ertinya sebuah bangsa.
Jebat, aku
mungkin tidak begitu
bijaksana
tapi inilah
usaha terakhirku
usaha
terakhirku
agar tanah
airku tidak akan hilang
kerajaannya
bangsaku tidak
akan hilang ketuanannya
Pada hari ini, sastera terus ke hadapan dan mampu menyentuh hati-hati
pengkarya dan pembaca sama ada yang telah mapan, mahupun yang masih baharu. Antara
medium pengantara yang paling relevan dan signifikan dalam dunia sastera hari
ini ialah sastera siber atau turut kenali sebagai e-sastera. Sastera siber ialah satu perkembangan fenomena
dalam bidang sastera yang melibatkan kemudahan capaian internet untuk berkarya
dan berupaya mewujudkan jaringan hubungan antara penulis-penulis baharu atau
penulis mapan di seluruh dunia. Kebijaksanaan seseorang penulis itu menggunakan kemudahan yang
tersedia dalam melebarkan bakat dan mencari pengalaman boleh direalisasikan
dengan menggunakan sastera siber sebagai mediumnya. Hal ini demikian kerana
bagi penulis-penulis baharu yang belum cukup kejituannya untuk meyakinkan
penerbit-penerbit besar, menghasilkan terbitan sendiri baik dalam bentuk buku
atau majalah mini, sastera siber ini menjadi alternatif yang sangat popular
kerana dapat memberikan impak yang sungguh signifikan.
Bagi memahami dengan lebih jelas, apakah yang dimaksudkan dengan e-sastera dan adakah e-sastera mempunyai kelebihan atau kekurangannya? Mari sama-sama kita saksikan ringkasan paparan sorotan kajian berikut:
Bagus!
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam