Jumaat, 18 Mei 2018

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK




ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA 
PANJI RAMDANA





Sajak siber atau e-sajak merupakan inovasi yang dilakukan terhadap cara dan gaya penyampaian sajak bertujuan untuk mempelbagaikan representasi sajak kepada khalayak umum. Dalam hal ini, e-sajak memperlihatkan pemaafaatan elemen multimedia dalam reka bentuknya, iaitu e-sajak tidak hanya semata-mata bergantung kepada teks tetapi melibatkan elemen seperti audio, animasi, video dan grafik untuk menjadikannya lebih menarik. Melalui pemanfaatan elemen multimedia, sesebuah sajak diterjemah dalam bentuk yang lebih interaktif. 

Berdasarkan e-sajak karya Panji Ramdana ini, terdapat lima elemen multimedia yang dimanfaatkan dalam penghasilan sajak ini. Antara elemen yang terlibat seperti:


1. Teks

2. Grafik
3. Audio
4. Animasi
5. Video



TEKS



Teks merupakan elemen asas yang digunakan dalam menyampaikan idea penulis. Berpandukan e-sajak ini, elemen teks difokuskan kepada bait-bait sajak yang dipersembahkan dalam video tersebut. Pemaparan teks ini melibatkan warna, saiz tulisan dan bentuk tulisan yang digunakan dalam representasi sajak ini. Berdasarkan penelitian terhadap e-sajak Kamu Wanita yang Hebat, pemilihan warna putih sebagai warna teks dilihat bersesuaian dengan latar belakang paparan video yang mengandungi warna hijau. Menurut Erick M. Saputra (2017), kombinasi teks berwarna putih pada latar belakang hijau akan menjadikan pemaparan lebih harmoni. Berdasarkan pengalaman kognitif juga, penggunaan teks berwarna putih ini akan lebih memberikan kesan pada pancaindera penglihatan disebabkan warna putih memberikan ketenangan. Bentuk tulisannya pula menggunakan tulisan yang bersifat lebih formal, iaitu Arial. Pemilihan bentuk tulisan ini memudahkan pembaca untuk membaca dan memahami bait sajak berbanding tulisan berangkai. 


GRAFIK



Grafik digunakan untuk memperlihatkan keterampilan sesebuah aplikasi multimedia. Dalam konteks ini, grafik merupakan persembahan visual yang melibatkan imej, lukisan atau ilustrasi yang digunakan untuk menterjemahkan idea yang sukar diterangkan melalui teks. Dengan adanya elemen grafik, sesebuah penyampaian idea atau maklumat akan lebih berkesan di samping dapat mempengaruhi emosi penonton. Berdasarkan e-sajak Kamu Wanita yang Hebat, dilihat bahawa penggunaan imej pemandangan langit, awan dan tumbuh-tumbuhan bertepatan dengan konsep sajak yang ingin mengembalikan semangat wanita agar tidak terus bersedih. Penggunaan elemen pemandangan ini dilihat wajar dan munasabah kerana dapat memberikan ketenangan dan perasaan yang nyaman kepada penonton. Pada masa yang sama juga, imej pemandangan ini mewujudkan kesan yang positif pada diri penonton, iaitu perasaan yang mendamaikan jiwa bersesuaian dengan bait-bait sajak yang disampaikan dalam video. 



AUDIO
Elemen audio juga telah dimanfaatkan dalam e-sajak Kamu Wanita yang Hebat karya Panji Ramdana. Dalam konteks ini, muzik latar  yang digunakan dalam video dilihat dapat mempengaruhi emosi dan pemikiran pendengar. Penggunaan muzik latar yang perlahan pada peringkat permulaan dapat memberikan perasaan damai dan perubahan kepada nada tinggi di akhir video mampu memberikan semangat kepada pendengar. Hal ini bertepatan tema sajak tersebut yang ingin memberikan semangat kepada kaum wanita agar tidak terus berada dalam kekecewaan. Selain itu, penggunaan suara latar yang mengalunkan bait-bait sajak juga menimbulkan kesan yang yang lebih efektif kepada para pendengar, iaitu membantu pendengar untuk menghayati sajak tersebut. Suara latar ini turut membantu meningkat minat penonton video tersebut serta mengekalkan penumpuan penonton kepada penyampaian tersebut.


ANIMASI 


Animasi merupakan jujukan imej yang disusun pada selang masa tertentu sehingga menciptakan sebuah ilusi imej yang bergerak. Dengan kata lain, animasi melibatkan proses menjadi sesuatu imej kelihatan hidup. Penelitian terhadap sajak karya Panji Ramdana ini memperlihatkan animasi secara papar dan sembunyi digunakan dalam reka bentuk sajak tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui animasi tumbuh-tumbuhan dan awan yang bergerak yang digunakan dalam sajak. Penggunaan unsur alam yang hidup ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan penghayatan penonton terhadap sajak tersebut. Selain itu, unsur 'fade in' dan 'fade out' (papar dan sembunyi) pada paparan tulisan ini lebih memberikan pemahaman kepada penonton. Pemaparan tulisan yang silih berganti dan selari dengan tempoh suara latar menjadikan sajak ini lebih menarik. Secara tidak langsung, pemaparan animasi tersebut akan meningkatkan penerimaan penonton terhadap video tersebut. 

VIDEO

Melalui penelitian terhadap e-sajak ini, dapat dilihat bahawa video merupakan elemen multimedia yang paling memberikan kesan secara langsung kepada penonton. Menerusi e-sajak tersebut, video yang memaparkan pemandangan unsur alam yang tenang dan damai dapat menterjemahkan makna tersirat yang ingin disampaikan menerusi bait-bait sajak. Dalam konteks ini, pemandangan unsur alam yang dipaparkan dalam video menceritakan tentang perlunya wanita untuk bangkit daripada kekecewaan. Sebagai contoh, video yang menunjukkan daun-daun yang bertiup menterjemahkan bait ayat yang menyatakan bahawa 'menangislah wanita jika itu membuatmu nyaman'. Secara logiknya, angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa akan menciptakan suasana yang nyaman dan tenang. Selain itu, durasi terakhir video tersebut memperlihatkan pergerakan video semakin laju bagi memanisfestasikan perubahan yang perlu dilakukan oleh insan bergelar wanita. Dengan adanya elemen video ini, kesan emosi sedih dan emosi semangat yang cuba disampaikan oleh pembuat video lebih dirasai oleh penonton e-sajak tersebut. Elemen video ini juga akan dapat membantu penonton untuk lebih memahami dan menghayati setiap bait ayat dalam e-sajak tersebut. 

Kesimpulannya, elemen multimedia ini menjadikan e-sajak lebih menarik. Elemen multimedia ini juga mengubah cara penyampaian sajak ke arah penyampaian secara interaktif. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...