Teori Takmilah berasal
daripada kata akar kamal yang
berhubungan dengan Tajmilah dan Jamal. Perkataan ini juga merujuk kata Takmilah, iaitu
istilah Arab yang bermaksud penyempurnaan. Istilah ini telah melalui beberapa
tahap penggunaannya sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar
(1988). Pada tahap pertama, kertas kerja yang berkaitan dengan teori ini telah
ditulis oleh Shafie Abu Bakar dengan tajuk “Sastera Islam: Teori Pengindahan
dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid”. Kertas ini telah dibentangkan di Port
Dickson pada tahun 1992. Seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
Kuala Lumpur ini telah berjaya menonjolkan penggunaan kata tajmilah (pengindahan)
dan kata takmilah (penyempurnaan)
walaupun kedua-dua istilah itu tidak digunakan dengan lebih terperinci.
Berturutan daripada perkara tersebut, Shafie Abu Bakar (1994, p.136-159),
meneruskan penggunaan kata takmilah dalam
kertas kerja yang berjudul “Teks Hadiqat
al-Azhar wa al-Rahayin: Sebagai Model Sastera Islam” dalam Seminar
Antarabangsa Kesusasteraan Melayu III yang dianjurkan oleh Jabatan Persuratan
Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993. Kertas kerja ini
juga berjaya menonjolkan istilah takmilah yang digunakan
dalam pengolahan teks walaupun bukan sebagai tajuk kertas kerja. Akhirnya,
penggunaan istilah takmilah telah
dipilih oleh Shafie Abu Bakar sebagai tajuk kertas kerja sewaktu Nadwah Sastera
Islam Antarabangsa yang telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada
tahun 1993 dengan judul “Takmilah : Teori Sastera Islam”.
Lanjutan
daripada pemeringkatan penggunaan teori ini, gagasan teori Takmilah menetapkan
ciri-ciri tertentu untuk mengukur kedudukan sesebuah teori sastera Islam.
Menurut Shafie Abu Bakar (1988, p.50-51), ciri-ciri yang perlu ada dalam
sastera Islam ialah pertama, perlu berada dalam ruang lingkup falsafah tauhid
dan kedua, teks tidak boleh terpisah daripada nilai yang berdasarkan keislaman.
Sebagai contoh, sejauh manakah amanat yang dibawa mengukuhkan, bersesuaian atau
bercanggah dengan nilai-nilai keislaman? Seterusnya, pengarang dan teks perlu
mempunyai hubungan dalam kaitannya dengan nilai keislaman kecuali pengarang tidak
diketahui. Ciri berikutnya ialah tidak dikaitkan dengan ideologi tertentu yang
berlawanan dengan Islam dan ciri terakhir ialah wujudnya unsur-unsur yang
menganjur (secara tersirat) ke arah kebaikan seperti pendidikan, dakwah, takwa,
keluhuran, kemurnian hidup, kecintaan kepada Ilahi, pembelaan dan terhadap yang
tertindas. Dengan kata lain, gagasan teori Takmilah amat menitikberatkan
penghasilan karya yang bersifat vertikal, iaitu hubungan baik dengan Allah dan
output pembacaan yang bersifat horizontal, iaitu hubungan baik sesama manusia.
Secara tidak langsung, pengaplikasian teori Takmilah dalam menghasilkan
karya-karya berunsurkan Islam dapat meningkatkan lagi mutu karya sastera Islam
sekali gus mampu menyebarluaskan syiar Islam ke seantero dunia.
PRINSIP-PRINSIP TEORI TAKMILAH
Secara umumnya, teori Takmilah
bersifat holistik yang melibatkan hubungan manusia, iaitu pengkarya dan
khalayak menerusi karyanya dengan ketuhanan, kenabian dan keilmuan. Oleh itu,
teori ini menggariskan tujuh prinsip yang mendasari aspek-aspek teori ini iaitu:
A. Prinsip Kerasulan yang Bersifat Kamal (Sempurna)
Berdasarkan prinsip yang pertama ini, teori Takmilah menghuraikan hubungan dua sifat Allah SWT yang merupakan “kamal” (sempurna) dan “jamal” (keindahan). Kedua-dua sifat ini mempunyai hubungan erat yang dapat menghubungkan Allah SWT dengan manusia. Penelitian sifat “kamal” dan “jamal” dilihat melalui kewujudan manusia yang dicipta oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Berdasarkan proses penciptaan manusia dan kejadian alam melalui sifat “kamal” yang dimiliki oleh Allah SWT telah menyerlahkan sifat jamal-Nya. Hal ini telah termaktub dalam al-Quran yang menyatakan bahawa kebesaran Allah SWT menciptakan manusia telah dapat menggambarkan “kesempurnaan” dan “keindahan”. Antaranya surah yang menyebut perihal kesempurnaan dan keindahan ini ialah dalam Surah-Tin ayat 4 yang membawa maksud :
Berdasarkan prinsip yang pertama ini, teori Takmilah menghuraikan hubungan dua sifat Allah SWT yang merupakan “kamal” (sempurna) dan “jamal” (keindahan). Kedua-dua sifat ini mempunyai hubungan erat yang dapat menghubungkan Allah SWT dengan manusia. Penelitian sifat “kamal” dan “jamal” dilihat melalui kewujudan manusia yang dicipta oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Berdasarkan proses penciptaan manusia dan kejadian alam melalui sifat “kamal” yang dimiliki oleh Allah SWT telah menyerlahkan sifat jamal-Nya. Hal ini telah termaktub dalam al-Quran yang menyatakan bahawa kebesaran Allah SWT menciptakan manusia telah dapat menggambarkan “kesempurnaan” dan “keindahan”. Antaranya surah yang menyebut perihal kesempurnaan dan keindahan ini ialah dalam Surah-Tin ayat 4 yang membawa maksud :
“Sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.
Hal
ini telah mencerminkan aspek keindahan (estetik) terhadap manusia, iaitu
kejadian mereka telah disempurnakan oleh Allah SWT sebagai Yang Maha Sempurna
dan Yang Maha Indah. Berhubungan dengan itu, dalam konteks sastera yang
menjadikan manusia dan alam sebagai fokus dalam berkarya serta menjadikan seni
sebagai satu keindahan, penulis perlu meningkatkan diri ke arah kesempurnaan.
Oleh itu, Shafie (1997, p.132), mengasaskan bahawa melalui rangka teori yang
berhubungan dengan Allah SWT, sastera dilihat tidak asing daripada Islam tetapi
ia mencerminkan kesyumulan Islam.
B.
Prinsip Kerasulan sebagai Insan Kamil (Sempurna)
Berdasarkan prinsip kedua,
teori Takmilah mengemukakan perhubungan teori dengan Rasul sebagai insan kamil
(sempurna). Pemilikan sifat “kamil” yang ada pada peribadi Rasulullah SAW
tersebut mempunyai pertalian dengan istilah sifat “kamal” Allah SWT sebagai
Yang Maha Sempurna. Penonjolan istilah “kamil” yang dipahatkan pada Rasulullah
sebagai insan kamil bagi mengukuhkan kewujudan manusia dengan sebaik-baik kejadian
yang seterusnya mempunyai pemimpin yang dapat melaksanakan perintah-Nya.
Berdasarkan sifat ‘kamil’ yang terdapat pada Rasulullah, hamba Allah daripada
dahulu hingga ke hari ini akan mempunyai rol model terunggul dalam
merealisasikan kehidupan dengan baik.
Dalam falsafah pemikiran Islam, terdapat tiga konsep ideal keinsanan, iaitu
insan kamil, insan khalifah dan insan rabbani. Ketiga-tiga konsep ini merupakan
tahap kedudukan manusia di dunia dalam menyempurnakan perintah Allah dan hukum
yang ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis. Insan khalifah merujuk kepada
kemampuan insan menjadi pemimpin di bumi Allah apabila telah memenuhi
syarat-syarat sebagai khalifah. Contohnya, berilmu dan berkeperibadian tinggi
yang menyumbang kepada ketamadunan dan peradaban insan. Perkara ini boleh
dilihat dalam Surah al-Baqarah Ayat 30.
Konsep kedua ialah insan rabbani yang merujuk kepada pengabdian diri dan rohani
manusia kepada Allah dengan khusyuk. Perkara ini akan meningkatkan kualiti
manusia sebagai insan berwibawa dan cemerlang sekali gus mengangkat martabat
Islam di dunia. Konsep ketiga, iaitu insan kamil pula merujuk kepada gabungan
antara insan khalifah dan rabbani kerana insan kamil mampu menampilkan
kemurnian akhlak dan merupakan tahap tertinggi kedudukan manusia di dunia.
Contoh yang paling ideal ialah sifat Rasulullah SAW yang digelar sebagai
al-amin (yang jujur dan benar), al-mustafa (yang terpilih) dan al-habib
(kekasih Allah). Sehubungan itu, dalam konteks sastera, “Takmilah” keinsanan berfungsi
untuk meningkatkan keinsanan menjadi lebih ahsan (seindah-indahnya) bagi
kedua-dua insan (khalifah dan rabbani) untuk mencapai tahap insan kamil yang
dimiliki oleh Rasulullah sebagai rol model dalam Islam.
C.
Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal (Sempurna)
Islam merupakan agama yang
lengkap dari semua aspek kehidupan. Hal ini demikian kerana Islam bukan sahaja
dilihat sebagai agama yang dipercayai, malah mencerminkan cara kehidupan
seseorang. Kepelbagaian aspek kehidupan pula menggambarkan keharmonian umat.
Islam menganjurkan amalan nilai-nilai murni yang semestinya ke arah kebaikan.
Maka, sastera merupakan salah satu aspek yang mendatangkan nilai-nilai murni
kepada masyarakat kerana mengandungi unsur didaktik. Shafie Abu Bakar (1996, p.
29) dalam Adnan Ahmad (2009) menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang
sempurna dan mampu menyempurnakan segala aspek kehidupan manusia termasuk aspek
bersastera. Karya yang baik mempunyai sifat agama Islam yang sempurna dan
membawa masyarakat ke arah kebaikan dengan meningkatkan keimanan serta
ketakwaan melalui karyanya. Karya sastera seharusnya bersandarkan al-Quran dan
Hadis kerana ia memainkan peranan dalam mendidik individu dan masyarakat
mempraktikkan ajaran Islam. Kesempurnaan hidup seseorang memerlukan panduan dan
Islam ialah panduan dalam kehidupan.
Kesempurnaan agama Islam bukan sahaja dilihat pada keimanan sahaja, tetapi
praktik amalan dan mematuhi segala syariat Islam. Akidah dan syariat memainkan
peranan penting dalam melahirkan nilai keihsanan dalam diri seseorang. Dengan
konsep akidah dan syariat, lengkap konsep kesempurnaan Islam yang diredai
Allah. Hal ini dibuktikan dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud :
("Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada
berselisih orang yang telah diberi al-kitab kecuali setelah datang pengetahuan
kepada mereka kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang
kufur terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat
perhitungan-Nya").
D.
Prinsip Ilmu dengan Sastera yang Bersifat Takmilah
(Menyempurnakan)
Melalui prinsip ini, Shafie
menghujahkan keperluan ilmu dengan sastera yang menjadikan teori Takmilah
sebagai teori yang saling melengkapkan, iaitu takamul. Menurut Shafie (1997:
135), konsep ini mempunyai hubungan antara ilmu dengan sastera yang melibatkan
akal dan hati. Hal ini demikian kerana dalam Islam, alat utama untuk memperoleh
ilmu ialah akal, manakala melalui hati pula, ia merupakan saluran ke arah
keilmuan yang bersifat rohani yang dikenali sebagai makrifat (Shafie Abu Bakar,
1997, p.136). Berkait dengan perkara tersebut, ternyata ilmu dan sastera saling
memerlukan bagi menghasilkan sebuah karya yang berkualiti. Perkara ini dikuatkan
lagi melalui penjelasan dalam al-Quran tentang kepentingan ilmu contohnya dalam
Surah al-Hajj Ayat 54.
Perkara ini boleh dilihat melalui penghasilan sesebuah puisi atau novel yang
mengemukakan persoalan tentang ketuhanan. Ini sudah pasti memerlukan ilmu agama
sebagai tunjang untuk dijadikan fokus dalam karya tersebut. Sehubungan itu,
sesebuah hasil sastera boleh menjadi karya yang berpendidikan berdasarkan
perutusan yang dibawa itu. Oleh yang demikian, perkara ini membuktikan bahawa
sastera bersifat takamul terhadap ilmu, manakala ilmu pula bersifat takamul
kepada sastera. Melalui karya sastera, prinsip keempat ini boleh diaplikasikan
dalam teks yang mempertautkan hubungan ilmu dan sastera yang mengarah kepada
kesempurnaan.
E.
Prinsip Sastera Sendiri yang Berciri Estetik dan Bersifat
Takmilah (Sempurna dan Menyempurnakan)
Berdasarkan prinsip kelima
ini, teori Takmilah yang dikemukakan oleh Shafie membawa penelitian terhadap
ciri estetik yang menjadikan sesebuah karya itu bersifat takmilah. Karya
dalam konteks teori ini menjelaskan faktor-faktor yang sepatutnya dapat
mempertingkatkan sesebuah karya. Malahan, ciri estetik dalam konteks Islam
menonjolkan tahap keprihatinan manusia meneliti alam dan kehidupan ini untuk
diaplikasikan dalam karya sebagaimana yang telah termaktub dalam al-Quran
contohnya dalam Surah al-Hajj Ayat 5 yang bermaksud:
“…Dan kamu lihat bumi ini
kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu
dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah”.
Dalam hal ini karya dilihat melalui kandungannya yang bercirikan lahiriah,
iaitu yang mengandungi teknik penciptaan sesebuah karya seperti bentuk,
struktur, plot, watak, bahasa, diksi, nada, stilistik, rima, matra, suku kata,
asonansi dan aliterasi. Bercirikan maknawi pula, iaitu yang mengandungi isi,
tema, idea, mesej, sudut pandangan, nilai, simbol, metafora, simile dan
sebagainya. Kesemua elemen tersebut yang melengkapkan proses pembinaan sesebuah
karya secara kreatif, indah dan berseni. Ia seterusnya merupakan “takmilah”
dalam karya sastera. Sehubungan itu, “takmilah” dalam karya diperhatikan
melalui bentuk, isi, tema, struktur dan etnik, watak dan perwatakan, latar,
aspek bahasa, diksi dan terminologi serta estetika.
F.
Prinsip pada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikmalkan
Diri (Menyempurnakan)
Pada prinsip keenam ini,
Shafie telah mengajukan keperluan bagi mengistikmalkan (menyempurnakan diri
dengan ilmu untuk menghasilkan sebuah karya yang sempurna). Pengkarya dalam
konteks teori ini menyorot kemampuan karya yang dihasilkan benar-benar berunsurkan
Islam berlandaskan ilmu keislaman dan ilmu kesusasteraan yang dimiliki oleh
penulis untuk diaplikasikan dalam karyanya. Berhubungan dengan itu, individu
perlu arif dalam keilmuan Islam bukan sekadar ilmu asas (Rukun Islam dan Rukun
Iman) tetapi harus mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut dalam kehidupan mereka. Hal
ini dikuatkan dengan gagasan yang telah digariskan dalam al-Quran yang
menyarankan setiap Muslim meneroka ilmu dengan sebaik mungkin contohnya dalam
Surah al-Kahfi Ayat 65 dan Surah Saba’ Ayat 6.
Selain itu, untuk menghasilkan karya berunsurkan Islam, penulis bukan sekadar
menguasai tradisi sastera Islam sebagai teladan semata-mata, tetapi penulis
perlu menguasai ilmu yang berkaitan dengan sastera umum (teori dan kritikan
sastera atau perkembangan isu-isu semasa) yang dapat mengembangkan kefahamannya
mengenai sastera yang seterusnya menggunakan dalam karya-karyanya mengikut
kesesuaian sastera Islam. Prinsip ini boleh digunakan pengkaji terhadap karya
sastera yang mempamerkan penulisnya membawa sudut pandangan, nilai dan amanat,
latar, pengaruh dan budaya dalam karyanya. Oleh itu, prinsip ini dapat
digunakan dalam karya sastera yang membawa nilai Islam atau mesej tentang
keagamaan.
G.
Prinsip Khalayak Bertujuan Memupuk Mereka ke Arah insan
Kamil (Sempurna)
Berdasarkan gagasan yang telah
dikemukakan oleh Shafie, teori Takmilah menampilkan hubungan khalayak dengan
pembaca ke arah membentuk insan Kamil menerusi hasil karya yang bersifat takmilah (Sempurna).
Khalayak dalam konteks teori ini merupakan sambutan pembaca atau pengkaji
kepada sesebuah karya sastera yang dikemukakan oleh seseorang penulis dengan
nilai-nilai kebaikan yang mencorakkan ke arah keinsafan. Dalam hal ini,
khalayak diperhatikan sama ada sebagai seorang individu atau sebagai jemaah
(kelompok besar) dalam komuniti masyarakat yang mengikuti perkembangan hasil
karya sastera Islam yang ditulis oleh seseorang penulis.
Oleh itu, peranan khalayak dalam memajukan perkembangan kesusasteraan Islam
sangat besar memandangkan sesebuah karya hanya akan mencapai sasaran dakwahnya
atau unsur pengajaran sekiranya dinikmati atau dibaca oleh khalayak. Justeru,
penguasaan ilmu berkaitan Islam dan sastera juga dituntut ke atas setiap
individu dan setiap jemaah. Hal ini bagi memperkukuh prasyarat teori Takmilah
yang memerlukan kesepaduan antara khalayak dengan ilmu untuk memupuk mereka ke
arah insan Kamil.
Proses untuk memupuk khalayak menjadi insan kamil sebagai mana yang digagaskan
melalui prinsip ketujuh ini mempamerkan kesan baik dan murni yang dapat
diutarakan oleh penulis dalam karyanya. Pengutaraan kesan yang baik dan murni
ini bukan sekadar menampilkan karya dengan makna yang tersurat, tetapi meliputi
juga makna yang tersirat supaya khalayak benar-benar menikmati nilai “kebaikan”
dan “kemurnian” sebagai iktibar atau contoh dalam kehidupan mereka.
Berikut merupakan kajian yang telah
dijalankan berdasarkan Teori Takmilah bertajuk Prinsip Keislaman dalam
Novel Siber Berhijrahnya Aku Karya Seorang Hamba : Analisis berdasarkan Teori
Takmilah:
Sila Klik pada Link di bawah:
Di.mana saya boleh dapatkan rujukan asal tentang teori takmilah?
BalasPadam