Ahad, 25 Mac 2018

HEBATKAH CIK SITI WAN KEMBANG?



Cik Siti Wan Kembang: Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah


(https://www.google.com)

Pemerintah yang adil, bijaksana, berpegang teguh dengan tali Allah, hebat dan tangkas bermain senjata serta elok rupa parasnya, itulah gambaran peribadi Cik Siti Wan Kembang yang diketengahkan dalam Novel Drama Sejarah Cik Siti Wan Kembang. Perihal kehebatannya ini telah menjadi siulan masyarakat di seluruh Tanah Melayu dan diceritakan kepada khalayak umum daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dekad pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Tanah Serendah Sekebun Bunga, iaitu daripada tahun 1610 sehingga 1677 telah berjaya memanifestasikan kegemilangan dan kemakmuran negeri Kelantan sehingga dikatakan terdapat saudagar-saudagar yang sanggup merosakkan kapal dagangnya kerana mereka tidak mahu meninggalkan bumi Kelantan.



Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah jelas terlihat dalam Novel Drama Sejarah Cik Siti Wan Kembang. Watak Cik Siti Wan Kembang telah menjadi tumpuan pengarang dengan menunjukkan sifat-sifat kewibawaan, kekentalan dan kebijaksanaan beliau dalam memerintah sebuah negeri bernama Kelantan atau turut dikenali sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga. Keperibadian Cik Siti Wan Kembang ini juga telah didorong oleh sifat mulia yang ada pada diri ayahandanya sendiri, iaitu Sultan Ahmad. Sultan Ahmad tidak mempunyai putera. Lantaran itu, baginda telah mendidik puteri tunggalnya, Cik Siti Wan Kembang dengan sifat-sifat kepimpinan, ditambah dengan ilmu persilatan dan ilmu agama daripada para ulama kepada Cik Siti Wan Kembang sebagai bekal untuk memimpin negeri Kelantan. 


        Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah dapat dilihat melalui peribadi Cik Siti Wan Kembang iaitu sifat berani yang dimilikinya. Keberaniannya dalam bersilat dan berkuda telah mengangkat beliau sebagai puteri pahlawan. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa apabila beliau mencabar Jusuh untuk berlawan dengannya bagi menundukkan sifat keegoan dan keangkuhan Jusuh. Walaupun zahirnya Cik Siti Wan Kembang merupakan seorang perempuan tetapi beliau tidak lemah di hadapan lelaki apabila diajak untuk berlawan silat malah mencabar lawannya.

Seterusnya, dapat dilihat melalui sifat ketokohan yang ada dalam diri Cik Siti Wan Kembang. Beliau juga telah dimuliakan sebagai raja perempuan pertama di Kelantan. Pada zaman ketika itu, terdapat ramai saudagar yang datang untuk menjalankan perniagaan dan salah seorang saudagar Arab yang datang pada ketika itu telah memuliakannya Cik Siti Wan Kembang dengan panggilan “siti” yang membawa maksud wanita terpuji kerana beliau sangat kagum dengan sifat peramah dan mesra rakyat yang ada dalam diri Cik Siti Wan Kembang. Walaupun beliau bergelar wanita, namun rakyat sangat menghormati beliau kerana beliau juga merupakan seorang yang pantas dan bijak dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Cik Siti Wan Kembang terus menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat terutama sekali kepada kaum wanita. Sifat kecekalannya itu boleh dilihat ketika beliau memimpin negeri Kelantan di usia muda lagi, iaitu pada usia 19 tahun. Malah, Cik Siti Wan Kembang juga sanggup mengetepikan kebahagiaannya dan mengutamakan negeri. Hal ini demikian kerana Cik Siti Wan Kembang khuatir nasib rakyatnya jika beliau tersalah memilih pasangan hidup walaupun pada hakikatnya, hati Cik Siti Wan Kembang telah terpaut pada Tengku Ahmad dan ingin mengahwininya. Namun, beliau memilih untuk tidak terus berkahwin dengan Tengku Ahmad, sebaliknya memilih untuk memerhatikan tingkah lakunya bagi memastikan lelaki yang dipilihnya itu adalah lelaki yang baik. Malah, kecekalan hati Cik Siti Wan Kembang juga boleh dilihat apabila tidak terus mengalah dan menyalahkan takdir atas kemangkatan tunangnya yang dikasihi, iaitu Tengku Ahmad.

            Cik Siti Wan Kembang: Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah. Pemimpin yang disegani seharusnya menjadikan rakyat sebagai yang utama dengan menjaga kebajikan mereka dan memastikan keharmonian dalam komuniti masyarakat tersebut. Sifat-sifat kepimpinan inilah yang dimiliki oleh Cik Siti Wan Kembang yang membezakan beliau dengan pemimpin-pemimpin yang lain. Buktinya, dengan kudrat wanitanya, Cik Siti Wan Kembang mampu menyelesaikan pergaduhan dan perselisihan faham rakyatnya, iaitu pergaduhan antara Ali Ayam dan Jambul serta pertelingkahan yang berlaku antara Mat Amin dan Leh. Ternyata, dengan  kebijaksanaan yang dimiliki oleh Cik Siti Wan Kembang ini, beliau mampu menyelesaikan perbalahan itu dengan adil dan saksama. Tambahan pula, Cik Siti Wan Kembang juga sanggup membayar 15 ekor lembu kepada bekas tunang Toon yang bernama Liang untuk menebusnya. Hal ini demikian kerana Cik Siti Wan Kembang mengetahui penderitaan yang diambil oleh Toon apabila dipaksa menjadi isteri keempat Liang. Beliau juga sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya dengan menyuruh agar rakyat yang telah mempunyai tanah untuk tidak perlu berpindah ke Gunung Chinta Wangsa. Sifat terpuji Cik Siti Wan Kembang ini menjadikan beliau sentiasa dihormati dan disanjungi oleh seluruh rakyat jelata.

            Kesimpulannya, lagenda Tanah Serendah Sekebun Bunga ini, Cik Siti Wan Kembang akan terus diangkat namanya, dicontohi kewibawaannya dan terus disegani sepanjang zaman. Ternyata, status ‘pemimpin wanita’ tidak menghalangnya untuk menjadi seorang pemerintah yang lebih baik dan berwibawa menyamai pemerintah-pemerintah lelaki. Dapat disimpulkan bahawa untuk menjadi seorang pemerintah yang baik, kebijaksanaan, kecekalan, keberanian, agama dan ketokohan perlu diadun sebati bagi memastikan kegemilangan dan keharmonian sesebuah tamadun tersebut.   



Rujukan
Mohamed Zahir Haji Ismail. 1992. Cik Siti Wan Kembang. Kuala  Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia. 2014. Sejarah Cik Siti Wan Kembang. Diakses pada 23 March 2018 daripada http://www.pkprcswkm.com.my/home/info/#sejarah1.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...