Isnin, 16 April 2018

AKTIVITI PENULISAN DI MEDIA SOSIAL AHMAD SARJU

AKTIVITI PENULISAN DI MEDIA SOSIAL (AHMAD SARJU)
(NOR HAFUZA BINTI MUHAMMAD ARIF)
(JQB170005)







Karya sastera merupakan satu karya yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan hal ini berbeza dengan karya-karya picisan yang lain. Karya sastera berada di satu tahap yang tersendiri dan terus berkembang dari satu era ke era yang lain. Sastera di Malaysia telah bermula daripada zaman sebelum merdeka sehinggalah kini. Namun, penyebaran sastera dari satu negeri ke negeri yang lain atau daripada satu negara ke negara pada zaman dahulu hanya melalui lisan dan tulisan sahaja, iaitu melalui penghasilan manuskrip. Selari dengan kemajuan teknologi dunia, sastera juga dilihat memanfaatkan medium internet dengan sebaik mungkin dengan perantaraan pelbagai media sosial seperti facebook, instagram mahupun twitter. Justeru, perbincangan ini akan memfokuskan aktiviti seorang penulisan prolifik di Malaysia, iaitu Ahmad Sarju melalui laman facebook beliau.



Ahmad Sarju atau nama sebenarnya ialah Ahmad bin Sarjoo merupakan seorang penulis kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang Selangor. Ahmad Sarju merupakan seorang penulis veteran yang masih menulis karya-karya kreatif sehingga ke hari ini, termasuklah karya puisi moden, pantun dan syair. Mata penanya ternyata tidak pernah tumpul daripada dahulu sehinggalah sekarang dan garapan buah fikiran dan daya kreativiti dalam penulisannya masih boleh diterima oleh setiap generasi, termasuklah generasi muda. Beliau yang juga seorang bekas pendidik di Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang menjadikan profesion perguruan ini sebagai satu lapangan untuk merakam peristiwa dan menjadi lebih peka dengan persekitaran sekeliling. Sebagai seorang penyair yang konsisten sejak tahun 1960-an lagi, kecenderungan beliau dalam bidang penulisan boleh dilihat dari segi penulisan skrip drama bersiri televisyen yang bertajuk Siti Zulaikha, Sayang di Sayang dan Opah. Walau bagaimanapun, pada hari ini, boleh dikatakan bahawa kecenderungan penulisan Ahmad Sarju menjurus kepada penulisan puisi, pantun dan syair. Aktiviti terkini beliau dalam usia 76 tahun boleh dilihat melalui laman facebook beliau yang sangat aktif dan dikemas kini pada setiap hari. Ternyata, faktor umur bukanlah penghalang kepada beliau untuk terus berkarya dan membangunkan generasi muda dengan sastera selagi beliau berupaya.


          Ahmad Sarju menjadikan laman facebook sebagai medium untuk berkarya kerana beliau menyedari bahawa media sosial termasuklah facebook merupakan medium yang paling relevan dan signifikan untuk digunakan pada hari ini. Beliau boleh berhubung dengan lebih mudah apabila ingin berinteraksi dengan rakan-rakan penulis atau peminat karya sastera beliau. Malahan, dengan penggunaan facebook sebaik medium untuk berkongsi karya kreatifnya, Ahmad Sarju juga dapat mendekati penulis-penulis baharu atau pembaca-pembaca yang baharu sahaja mengenali bidang sastera. Hal ini demikian kerana khalayak bukan sahaja boleh menikmati karya-karya kreatif seperti pantun dan syar di laman facebook beliau, tetapi dalam masa yang sama Ahmad Sarju juga aktif mengikuti perkembangan sahabat-sahabat penulisnya di facebook. Secara peribadinya, Ahmad Sarju merupakan seorang penulis yang sangat mudah didekati dan tidak lokek berkongsi ilmu pengetahuan. Maka, dapat dilihat bahawa facebook  dijadikan wadah untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan terus mencari gali untuk meningkatkan kemahiran menulis karya kreatif.


Perbincangan ini akan diteruskan lagi dengan memaparkan aktiviti-aktiviti seorang penulis veteran yang prolifik, iaitu Ahmad Sarju. Apabila meneliti ruangan facebook Ahmad Sarju, boleh dikatakan setiap hari beliau akan mengemas kini status dengan memuatkan pantun atau syair. Ahmad Sarju mengemas kini statusnya itu secara berkala mengikut kepada situasi atau isu-isu semasa sekarang. Sebagai contoh, pada tarikh 3 April 2018, beliau telah memuatkan syair bertajuk Menjelang PRU 14(8). Bilangan pantun atau syair yang dimuatkan untuk satu-satu topik itu boleh diketahui dengan melihat bilangan di akhir tajuk seperti berikut:






Berdasarkan contoh-contoh di atas, dapat dilihat bahawa keaktifan Ahmad Sarju di laman facebook beliau. Kaedah yang digunakan oleh Ahmad Sarju ini sememangnya boleh menjadi contoh kepada para penulis karya kreatif yang lain kerana susunan sebegini menjadikan para pengikut serta peminat karya-karya beliau mudah memahami dan tidak akan terlepas setiap karya-karya baharu mereka. Jika diteliti daripada sudut pemikiran dan peribadi Ahmad Sarju yang boleh diinterpretasikan daripada karya-karya yang beliau hasilkan, Ahmad Sarju merupakan seorang yang sangat tinggi sifat patriotismenya. Hal ini demikian kerana beliau sering menghasilkan pantun atau syair ang mengingatkan anak bangsanya supaya tidak terlalu sombong dan bermegah dengan apa yang dimiliki pada hari ini dan ini boleh dilihat dalam pantun beliau bertajuk Menang Sorak Kampong Tergadai. Ahmad Sarju juga sangat menitikberatkan soal bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda melalui pantun dan syair-syair beliau. Bagi beliau, hanya dengan bahasalah perpaduan negara dapat terus berdiri utuh dan teguh. Seterusnya, antara nasihat yang diberikan oleh beliau melalui syair dan pantun yang dihasilkan ialah mengingatkan generasi muda agar tidak mengabaikan peribahasa-peribahasa Melayu yang bukan sahaja sebagai satu bentuk estetika bahasa, tetapi juga mempunyai tujuan menasihati secara implisit, menjauhkan diri daripada sikap buruk siku dan dendam serta mengutamakan sikap jujur dalam setiap perilaku harian. Malah, antara perkara yang dikagumi tentang peribadi Ahmad Sarju sebagai penulis prolifik ialah beliau juga gemar mendedikasikan pantun atau syair yang khusus kepada rakan-rakan penyair seperjuangan atau menghadiahkannya sempena hari-hari peringatan yang tertentu. Contohnya, beliau mencoretkan sebuah syair khusus kepada warga PDRM sempena Hari Polis Diraja Malaysia.





Secara tidak langsung, pembaca atau pengikut laman facebooknya akan turut sama mengingati tarikh-tarikh penting yang berlaku di Malaysia. Di samping itu, Ahmad Sarju juga gemar berkongsi aktiviti-aktiviti sastera yang beliau terlibat sepanjang bergelar penyair. Beliau merupakan salah seorang ahli KEMUDI, iaitu persatuan penulis di Selangor. Beliau juga berkecimpung secara aktif dalam bacaan puisi di seluruh negara termasuklah Majlis Baca Puisi Kota Baharu 2016, Majlis Baca Puisi Damia 2 yang dianjurkan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan dan sering memeriahkan Malam Baca Puisi PENA yang dianjurkan setiap hari Jumaat minggu pertama di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Kegigihan dan semangat yang ada pada Ahmad Sarju inilah yang membuatkan beliau sentiasa relevan dan diterima dalam dunia sastera ini. Beliau juga sering memuatkan gambar beliau terlibat sebagai juri pantun sama ada di peringkat sekolah ataupun universiti. Malah, baru-baru ini beliau baharu sahaja menerima anugerah untuk Sayembara Menulis Puisi berunsurkan Islam Asian 2018. Salah satu perkara yang juga boleh dicontohi ialah beliau akan memaklumkan kepada para pengikutnya di facebook terlebih dahulu jika beliau tidak dapat berkongsi karya beliau untuk beberapa hari. Di bawah merupakan contohnya:  





Kesimpulannya, aktiviti sastera yang dilihat dalam facebook Ahmad Sarju ini berjaya memaparkan aktiviti-aktiviti beliau, sudut pemikiran beliau yang terpamer daripada karya-karya beliau serta mencerminkan perjuangan dan minat beliau yang tinggi terhadap bidang sastera. Pemanfaatan media sosial ini menunjukkan bahawa sastera itu juga dapat disebarluaskan dengan menggunakan capaian internet, malah boleh menjangkau ke seluruh dunia. Oleh itu, sebagai pengguna media sosial, kita seharusnya menjadi pengguna yang bijak bagi mengelakkan pertelingkahan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. 



                               Kenangan bersama-sama Ahmad Sarju di kediaman beliau



2 ulasan:

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...