AKTIVITI PENULIS DATUK A. SAMAD SAID DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK
(NUR DIYANA BINTI ZAMANI)
(JQB170015)
Di era zaman yang semakin moden dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat terutamanya penggunaan medium perantara internet seperti blog, laman web dan juga media sosial dapat membuka peluang yang luas kepada penulis-penulis sastera dalam menghasilkan penulisan karya sastera mereka. Di samping itu, dapat memberikan manfaat kepada pembaca dan juga mempengaruhi lebih ramai golongan masyarakat tidak kira tua atau muda untuk turut menghasilkan dan menyumbang penulisan karya-karya sastera yang lebih banyak. Justeru itu, satu perbincangan yang menfokuskan kepada penulis karya sastera yang aktif dalam menghasilkan penulisan karya sasteranya dan menjadikan media sosial Facebook sebagai medium untuk penulis berkogsikan hasil penulisan karya sasteranya. Penulis yang dipilih ini merupakan seorang tokoh sasterwan Negara iaitu A. Samad Said.
A.Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said merupakan seorang sasterawan tanah air yang banyak terlibat dalam bidang penulisan kreatif. Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunanya membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A.Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil. Beliau berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja, tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas. Sepanjang kariernya dalam penulisan, beliau telah mendapat banyak pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia. Antara anugerah yang diterima ialah Anugerah Pejuang Satera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999). Selain itu, A.Samad Said memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki oleh semua penulis. Beliau dapat menguasai semua genre sastera. Sehingga kini walaupun usia beliau telah mencecah 83 tahun, A.Samad Said tidak jemu dalam menghasilkan puluhan karya dalam pelbagai genre seperti novel, puisi, drama, cerpen, dan esei.
Antara karya besar yang telah dihasilkan oleh A. Samad Said sekali gus mengakat namanya sebagai tokoh bidang sastera ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau iaitu Salina telah diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Selain itu, beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T.Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau.
Selain menghasilkan penulisannya di atas kertas, A. Samad Said juga dilihat aktif dalam berkongsikan penulisan karya beliau melalui laman sosial Facebook. Hal ini kerana, penggunaan laman sosial seperti ini dilihat semakin relevan dan signifikan kepada pengguna dalam berkongsikan setiap aktiviti yang dilakukan bersama pengguna yang lain. A. Samad Said menggunakan medium Facebook ini bagi memudahkan beliau berkongsikan secara terus bersama pembaca dan pengguna Facebook yang lain disamping dapat berkongsikan pendapat dan cadangan. Selain itu, dapat juga menarik minat pembaca-pembaca dan memupuk serta melahirkan penulis-penulis baharu yang mempunyai minat dalam bidang sastera ini untuk mengenali bidang ini lebih mendalam lagi. Di samping itu, A. Samad Said juga sering berkongsikan hasil-hasil penulisan karya sastera penulis-penulis lain dan pengalaman beliau menghadiri majlis atau jelajah sastera. Melalui penulisan beliau itu dapat dilihat setiap bait-bait bahasa yang digunakan begitu puitis dan mengadungi estetika bahasa yang begitu tinggi. Melalui ruang Facebook beliau juga, dapat dilihat bahawa beliau juga sangat aktif dalam berkongsi hasil penulisannya melalui muat naik sajak-sajak dan puisi yang dihasilkan oleh beliau itu. Selain itu, dapat dilihat ramai dikalangan pembaca yang memberikan komen-komen yang positif dan memuji di setiap hasil karya penulisan yang dimuat naik oleh beliau serta berkongsikan “post” beliau itu. Ini dapat dilihat melalui muat naik statusnya pada tarikh 4 April 2018, beliau telah memuat naik dua rangkap puisi yang merujuk kepada keperluan wang. Hasil-hasil penulisan yang dimuat naik dan dikongsi oleh beliau lebih kepada karya puisi dan sajak. Bentuk penulisan puisi dan sajak beliau yang dimuat naik mengandungi kepanjangannya dan terdapat juga puisi dan sajak yang hanya dihasilkan dalam bentuk ayat yang ringkas dan pendek. Berikut dipaparkan skrin laman Facebook milik A. Samad Said dan beberapa hasil penulisan yang dimuat naik oleh beliau di statusnya:
Berdasarkan paparan laman Facebook milik A. Samad Said menunjukkan beliau yang sangat aktif dalam menghasilkan penulisan karya sastera seperti puisi yang dikongsi oleh beliau melalui muat naik pada tarikh 4 April 2018, 2 April 2018 dan pada 22 March 2018. Melalui paparan ini juga dapat dilihat penghasilan penulisan A. Samad Said tidak bergantung kepada bilangan dan kepanjangan sesebuah penulisan. Cukup memadai dengan dua rangkap puisi yang memberi makna yang begitu mendalam kepada pembaca. Namun begitu, hasil penulisan puisi yang panjang juga memberi seribu makna tersirat yang cuba disampaikan melalui bait-bait ayat yang digunakan. Selain itu, dapat dilihat ramai dikalangan pembaca yang memberi tindak balas dan maklum balas terhadap setiap hasil penulis yang dimuat naik oleh Datuk A. Samad Said. Tambahan lagi ramai dikalangan pembaca yang berkongsikan “post” tersebut untuk rujukan dan simpanan mereka dan dapat dikongsikan dengan pembaca dan pengguna Facebook yang lain. Selain itu, hasil penulisan Datuk A. Samad Said yang dimuat naik di laman Facebook nya juga dinyatakan tajuk bagi setiap puisi atau sajak yang dihasilkan oleh beliau.
Berdasarkan paparan di atas, dapat dilihat hasil penulisan karya A. Samad Said banyak dikaitkan dengan watak-watak, unsur-unsur alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya. Beliau seolah-olah mencari makna dalam semuanya itu. Melihat dari sudut pemikiran beliau daripada karya-karya yang dihasilkan, A. Samad Said merupakan seorang yang sangat menekankan falsafah tentang kehidupan manusia yang penuh cabaran. Hal demikian kerana beliau sering menggunakan watak-watak hidup dalam penulisan beliau dan mengaitkannya dengan kesukaran yang dihadapi manusia ketika ini yang boleh dilihat melalui sajaknya yang bertajuk Sepadan Fisik. Kebanyakkan apabila dibincangkan atau diceritakan tentang perihal manusia yang perlbagai masalah secara terang-terangan boleh mencetuskan pergaduhan dan salah faham. Tetapi jika ianya disampaikan menggunakan bahasa yang halus seperti puisi atau sajak akan lebih kelihat berestetika dan sedap didengar atau dibaca. Justeru itu, dalam penulisan karya A. Samad Said banyak menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung. Di situlah letaknya keunikan karya sastera beliau. Yang paling penting, dalam menghasilkan sesebuah penulisan karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri dan kretiria tersebut ada pada A. Samad Said. Oleh itu, kesemua hasil karya A. Samad Said memperlihatkan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato yang mengemukakan pendapatnya mengenai seni, dan menyatakan bahawa seni merupakan hasil peniruan alam dengan segala seginya.
Secara kesimpulannya, melalui pemerhatian terhadap aktiviti sastera yang dimuat naik oleh A. Samad Said di laman Facebook miliknya memaparkan pelbagai hasil penulisan karya sasteranya yang merangkumi puisi dan juga sajak serta perkongsian hasil-hasil penulisan karya dari penulis-penulis yang lain. Melalui laman Facebook milik beliau juga dilihat banyak memberi manfaat kepada pembaca dan mengerakkan pembaca untuk turut serta berkarya di ruang komen status yang dimuat naik oleh beliau. Keunikan dan keistimewaan serta keikhlasan yang dimiliki oleh A.Samad Said dalam berkarya sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda masa kini. Oleh itu, sebagai generasi yang bakal mewarisi segala penurunan ilmu seharusnya menjadikan medium yang tersedia ini sebagai langkah untuk mereka mempelajari dan mewarisi segala ilmu yang dikongsi oleh orang yang lebih berpengalaman dalam bidang sastera terutamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan