AKTIVITI PENULISAN SYAMNURIEZMIL DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK
(SYAIDATUL AMIRA BINTI MOHAMAD RAFI)
(JQB170007)
(SYAIDATUL AMIRA BINTI MOHAMAD RAFI)
(JQB170007)
Pendahuluan
Sastera merupakan suatu bentuk ciptaan seni yang indah, disampaikan melalui bahasa dan bertujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Menurut Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa (2013), sastera ialah wadah penyampaian yang memiliki nilai estetika yang tinggi kepada khalayak. Medium penyampaian sastera juga bersifat dinamik. Selari dengan faktor perkembangan teknologi, penyampaian sastera berubah mengikut zaman, iaitu dari tradisi lisan kepada bentuk tulisan, seterusnya disampaikan dalam bentuk media baharu seiring dengan kecanggihan teknologi.
Pada hari ini, kebanyakan penulis karya sastera sama ada novel, cerpen, puisi atau syair menggunakan platform media sosial untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti sastera. Perkara ini dilihat sebagai suatu yang positif kerana penulis tidak lagi bergantung kepada penulisan bercetak sahaja. Dalam hal ini, tiada had masa yang diperlukan oleh khalayak untuk membaca hasil nukilan penulis tertentu kerana penulisannya dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja dan begitu juga sebaliknya. Selaras dengan pandangan Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa (2013) iaitu, melalui media baharu, sesiapa sahaja boleh mengakses hasil sastera dan menikmatinya atau berkarya dalamnya. Platform seperti facebook, misalnya berfungsi untuk mengemas kini status, memaparkan mesej atau gambar serta berkongsi video. Dalam konteks ini, pengaruh facebook dapat membantu penulis untuk menghubungkan karya dan aktiviti penulis dengan peminat. Secara tidak langsung, peranan dan fungsi facebook mampu memperkembangkan sastera Melayu di laman sesawang. (Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa, 2013). Oleh itu, penulisan ini membincangkan aktiviti penulis di laman sosial facebook, iaitu dengan hanya berfokus kepada laman penulis novel melayu semasa, iaitu Syamnuriezmil.
Gambar 1: Penulis Syamnuriezmil
Syamnuriezmil merupakan nama pena yang digunakan oleh Nur Azyyati Abu Bakar dalam karyanya. Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan lebih 10 tahun, beliau telah menghasilkan pelbagai karya seperti novel, antologi cerpen dan novelet (novel pendek). Sebanyak 14 buah novel, 11 antologi cerpen dan sembilan buah novelet telah dihasilkannya sejak beliau bergelar penulis (Harian Metro, 5 Mei 2017). Bagi beliau, bidang penulisan merupakan jiwanya sejak dari kecil kerana beliau telah dididik oleh ayahnya untuk sentiasa menulis. Menurut beliau, minatnya dalam bidang penulisan berkemungkinan diwarisi daripada sasterawan negara, iaitu Datuk Dr Zurinah Hassan dan Azizi Haji Abdullah yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.
Hasil kebijaksanaan penulisannya, karyanya sering menduduki kategori novel paling laris dan pernah beberapa kali diadaptasi ke filem dan drama bersiri seperti Suamiku Mr. Perfect 10!, Terlanjur Mencintaimu, Mr.Grey, Suami Tanpa Cinta, Tuan Anas Mikael dan banyak lagi. Menariknya, beliau memulakan kerjayanya sebagai penulis dengan memuat naik karya pertama di sebuah laman web penerbitan iaitu www.penulisan2U.com. Seterusnya, beliau menggunakan platform media baharu iaitu blog sebagai batu loncatan untuknya dikenali sebagai penulis novel. Pada masa ini, beliau menggunakan facebook sebagai platform terkini dan semasa untuk beliau mempromosikan karya penulisannya serta beinteraksi dengan para peminat. Seramai 20,000 orang telah mengikuti laman facebooknya yang sehingga kini menerima kira-kira 20,860 likes daripada para peminatnya.
Gambar 2: Jumlah pengikut dan likes di page facebook Syamnuriezmil
Perbincangan
Berdasarkan pemerhatian terhadap karya-karya yang dimuat naik di laman sosial facebooknya, Syamnuriezmil dilihat lebih bertumpu kepada genre yang bersifat komedi romantik. Hal ini disebabkan genre tersebut dikatakan lebih digemari oleh masyarakat. Menurut beliau, kebanyakan novelnya berkonsepkan komedi romantik kerana menepati cita rasa serta dekat dengan kehidupan masyarakat (Harian Metro, 15 Mei 2017). Selain itu, bahasa yang digunakan oleh penulis dalam setiap hantaran di laman pagenya bersifat tidak formal dan santai. Kadang-kala, beliau turut menggunakan bahasa rojak dalam memuat naik statusnya. Walau bagaimanapun, hal ini dilihat bertepatan dengan fungsi media sosial itu sendiri yang digunakan bersembang serta bertukar pendapat dan berhubung dengan kenalan (Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa, 2013).
Melalui laman sosial facebooknya, Syamnuriezmil yang dilihat lebih selesa menggunakan panggilan ‘acik’ untuk dirinya sentiasa memuat naik hantaran berkaitan karya terbaru ciptaannya. Pada kebiasaannya, beliau memuat naik sinopsis atau blurb bagi novel-novelnya. Dalam hal ini, beliau sentiasa mengemas kini status setiap novel yang bakal diterbitkan. Beliau juga sentiasa menarik perhatian pembaca dengan mendedahkan sebahagian kecil peristiwa yang terdapat dalam karya ciptaannya. Hal ini dilihat mampu menimbulkan rasa keterujaan bagi para peminat yang sentiasa menanti hasil tulisannya. Menariknya lagi, kebanyakan peristiwa dalam novel yang dimuat naik diceritakan menerusi dialog antara watak. Dalam konteks ini, penulis cuba menarik minat pembacanya melalui perkembangan watak secara beransur-ansur bagi membolehkan karya sasteranya didekati. Hantaran beliau di laman facebooknya juga tidak terhad kepada teks sahaja, malah beliau juga turut menggunakan elemen media yang lain seperti imej gambar, video pendek dan teaser mengenai karya yang bakal diterbitkan. Penerapan elemen multimedia mampu menjadikan laman sosial bersifat lebih interaktif dan menarik. Sebagai seorang penulis yang mana karyanya sentiasa dipilih untuk diadaptasi sebagai drama atau filem, beliau juga turut memuat naik teaser drama adaptasi daripada novelnya. Hal ini akan menimbulkan keterujaan kepada para peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan novelnya. Secara tidak langsung, perkara ini dapat membantu memperkembangkan karya sastera di laman sosial.
Selain memuatkan karya-karya ciptaannya, beliau juga turut berkongsi aktiviti-aktiviti sasteranya seperti pelancaran buku baharu dan sesi bertemu pemunat serta penyertaaannya dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan pada setiap tahun bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra. Di samping itu, beliau juga turut berkongsi maklumat dan tips dalam menghasilkan novel yang baik. Sebagai contoh, dalam satu hantarannya di facebook,beliau berkongsi salah cara bagi mendapat tajuk yang baik bagi novel. Berikut merupakan status miliknya:
Gambar 3: Status Syamnuriezmil berkaitan pemilihan tajuk novel
Walaupun status ini lebih berbentuk gurauan kepada para pengikutnya, tetapi pada pendapatnya, sesuatu novel yang baik memerlukan tajuk yang dapat menarik perhatian pembaca. Menurutnya, tuntutan dalam strategi pemasaran novel mementingkan tajuk yang bersifat “catchy” untuk menarik minat pembeli (Harian Metro, 2017). Oleh sebab itu, beliau sentiasa menyarankan pembeli agar membaca isi kandungan dan jalan cerita terlebih dahulu sebelum mengkritik tentang tajuk. Hal ini demikian kerana tajuk sahaja tidak dapat menggambarkan keseluruhan jalan cerita yang disampaikan penulis dalam novel.
Di samping itu, laman facebooknya ini juga turut digunakan oleh beliau untuk berkongsi tentang diari kehidupannya sebagai penulis dan juga kehidupan peribadi. Walaupun begitu, dapat dilihat bahawa perkongsian beliau di laman ini lebih terarah kepada perkongsian mengenai karya penulisannya berbanding kisah-kisah peribadi. Hal ini juga dilakukan kerana dianggap lebih mesra antara beliau dan peminat. Interaksi yang positif ini secara tidak langsung akan menarik minat khalayak untuk mencintai karya sastera. Melalui perkongsiannya juga, dapat dilihat bahawa pemikiran beliau dalam menghasilkan novel kepada menerapkan unsur kasih-sayang dalam keluarga dan masyarakat. Walaupun beliau terkenal sebagai penulis bergenre romantik., namun karyanya tidak hanya berfokus kepada unsur percintaan, sebaliknya mampu mengajar masyarakat tentang nilai kekeluargaan serta kemasyarakatan. Sebagai contoh, perkongsian mengenai novelnya iaitu Perempuan Lebih Bahagia, lebih menekankan kepada unsur agama yang mendedahkan masyarakat tentang hukum anak tidak sah taraf dari sudut Islam. Hal ini memperlihatkan bahawa penulisan Syamnuriezmil bukanlah hanya berfokus kepada percintaan sahaja, namun terdapat mesej yang disampaikan kepada masyarakat melalui novel-novelnya.
Kesimpulan
Karya sastera merupakan wadah ilmu yang digunakan bagi mendidik khalayak. Walau bagaimanapun, karya ini tidak hanya terhad kepada penulisan secara bercetak sahaja, malah boleh juga disampaikan melalui perantara media sosial. Dalam konteks ini, usaha penulis sastera diperlukan dalam mengembangkan karya sastera dalam media sosial agar karya sastera dapat dimartabatkan seiring dengan perkembangan dunia teknologi. Hal ini penting bagi memastikan karya sastera terus diminati oleh khalayak dan sentiasa berada dalam hati masyarakat seperti kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Melalui penggunaan media sosial sebagai platform baharu untuk memperkenalkan sastera kepada umum, maka wajarlaha sekiranya para penggiat sastera memanfaatkan medium ini bagi membolehkan karya sastera terus meniti di bibir khalayak.
Rujukan
Harian Metro. (2017, Mei 5). Banyak adaptasi ke drama, filem. Dicapai pada 4 April 2018 daripada
www.hmetro.my.
Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa (2013). Sastera Melayu dalam media sosial.
Wacana Kesusasteraan Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Kelantan, 6 Oktober 2013.
Https://www.facebook.com/syamnuriezmil.author/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan