Isnin, 30 April 2018

ULASAN BUKU KESARJANAAN PERADABAN MELAYU

PENGENALAN

Buku Kesarjanaan Peradaban Melayu merupakan hasil Siri Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Indris bagi tahun 2012. Kumpulan esei ini merupakan garapan minda dan dapatan penyelidikan sarjana-sarjana Melayu dalam bidang kepakaran masing-masing. Buku ini juga telah diselenggara oleh Abdullah Hassan, mempunyai 180 halaman bercetak dan terdiri daripada sebelas esei. Kesebelas-sebelas esei ilmiah ini tentang peradaban, sejarah, bahasa, kesusasteraan, sistem sosioekonomi, undang-undang, nilai dan adat, identiti sosial dan dispora Melayu.  Antara sarjana yang telah menyumbangkan idea berkaitan dengan peradaban Melayu ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, Profesor Dr. Adnan Nawang, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Dr. Nasha Rodziadi Khaw, Dr. Nazarudin Zainun, Tarmiji Masron, Zulkifli Jaafar, Prof Dato’ Dr. Yaacob Harun, Prof.Madya Nuwairi Khaza’ai, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof.Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan Prof. Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh. Buku ini pastinya boleh memberikan maklumat yang lengkap, tepat dan padat berkaitan dengan peradaban Melayu.

ULASAN BUKU
Buku Kesarjanaan Peradaban Melayu yang ditulis oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan mempunyai beberapa kekuatan yang tidak boleh disangkal lagi. Antara kelebihan yang dapat dikenal pasti ialah setiap bab disusun dengan teratur mengikut peringkat kesukaran untuk memahaminya. Buku ini dimulakan dengan topik perbincangan yang sederhana dan diikuti dengan topik yang lebih sukar dan kompleks. Walaupun buku ini telah ditulis oleh sarjana-sarjana Melayu mengikut bidang kepakaran masing-masing, namun setiap maklumat yang disampaikan masih mampu difahami. Malah, setiap bab telah ditulis dengan olahan yang sangat mantap. Mereka menjadikan formula isi, huraian dan contoh sebagai panduan dalam penulisan. Huraian dan contoh yang bersesuaian dengan topik menjadikan buku ini lebih menarik untuk dibaca. Tambahan pula, huraian yang ditulis mempunyai kaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Hal ini bermakna, setiap penulisan dalam buku ini menunjukkan perkaitan dan kesatuan yang tinggi.

         Selain itu, keunikan buku Kesarjanaan Peradaban Melayu ialah para pembaca boleh membaca cetusan idea dan kupasan maklumat yang ditulis oleh para sarjana Melayu dengan hanya membaca sebuah buku sahaja. Setiap isu yang berkaitan dengan peradaban Melayu telah dihuraikan dengan sangat bagus oleh para sarjana dan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan yang berkualiti. Seterusnya, kelebihan buku ini juga boleh dilihat dari aspek bahasa. Hal ini demikian kerana penulis memilih untuk menggunakan bahasa yang sederhana namun mampu memikat hati pembaca untuk membacanya. Bahasa yang digunakan adalah dalam bentuk tersurat dan terus merujuk kepada topik yang dibincangkan. Dari aspek luaran pula, iaitu melibatkan pemilihan songket sebagai kulit buku amat wajar kerana elemen yang ada pada songket itu sendiri menunjukkan nilai peradaban Melayu. Buku ini juga mempunyai beberapa gambar berkaitan dengan gaya berbusana masyarakat Melayu. Hal ini boleh membantu para pembaca untuk lebih memahami perkara yang dibincangkan.

RUJUKAN
Abdullah Hassan. (2012). Kesarjanaan peradaban Melayu. Kuala Lumpur : Universiti 
              Malaya. 1-180.
                          



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...