Isnin, 30 April 2018

SEMBANG SANTAI NOMIK MOTIVASI: IMPIAN HARLINA



Assalamualaikum semua...😊

Hari ini Cik Kemboja nak kongsikan sedikit pengalaman Cik Kemboja membaca novel komik (nomik) motivasi ni. Dah lama dah sebenarnya komik ni berada di pasaran. Cik Kemboja pun dah ingat-ingat lupa bila Cik Kemboja membeli nomik ini tetapi yang pastinya pada masa tu, Cik Kemboja muda lagi. Okay, sebelum Cik Kemboja bercerita lebih lanjut tentang nomik ini, apa kata Cik Kemboja berikan dahulu sinopsis nomik ini.



Sinopsis Impian Harlina


Nomik ini ialah adaptasi daripada sebuah kisah benar yang menceritakan perjalanan hidup seorang anak yatim bernama Harlina yang menumpang kasih pada keluarga angkatnya setelah kematian bapanya. Kehidupan ibunya yang miskin telah memaksanya untuk berpindah-randah dari satu keluarga angkat kepada keluarga angkat yang lain. Pada awalnya, Harlina tidak ambil peduli dengan pelajarannya yang semakin merosot tetapi lama-kelamaan timbul kesedaran dalam dirinya bahawa beliau perlu melakukan perubahan bagi mengubah kehidupannya keluargannya di kampung. Sejak dari itu, beliau menyimpan impian untuk ke menara gading walaupun tiada siapa yakin bahawa beliau mampun mengecapi impiannya itu. Akhirnya, beliau berjaya membuktikan  sekeliling bahawa beliau  mampu bergelar seorang doktor yang dapat memberi khidmat pada masyarakat meskipun hidup dalam serba kekurangan.



Dah baca sinopsis? Sekarang Cik Kemboja kongsikan apa yang menarik mengenai nomik ini

1. Plot cerita

Bagi Cik Kemboja, jalan ceritanya sangat menarik dan tidak cliche seperti novel cinta di pasaran sekarang. Dalam nomik ini, perjalanan hidup Harlina diceritakan satu-persatu bermula dengan kehidupannya ketika menetap di bandar, menjadi yatim sehingga beliau berjaya bergelar seorang Doktor. Plot cerita ini mampu memberikan Cik Kemboja seribu rasa yang berwarna-warni. Ada sedih, gembira, teruja, simpati, marah dan lain-lain. Sebagai contoh, gambaran perasaan teruja Harlina sebagai pelajar perubatan dalam peristiwa sewaktu beliau memasuki bilik mayat buat kali pertama telah membawa diri Cik Kemboja untuk turut merasai pengalaman teruja bercampur takut apabila berhadapan dengan mayat.

2. Elemen budaya

Bagi Cik Kemboja, penulis berjaya menerapkan elemen budaya yang membuatkan Cik Kemboja tersenyum apabila membacanya. Dengan menggunakan sekitar tahun  80-an sebagai latar masa dan Hulu Kelantan sebagai latar tempat pada permulaan ceritanya, penulis menceritakan kehidupan masyarakat kampung yang tidak terdedah kepada pembangunan bandar. Dalam hal ini, budaya kampung seperti bermandi-manda di sungai, saling bantu-membantu dan permuafakatan antara masyarakat kampung dapat memberikan nilai dan pengajaran kepada para remaja kini yang terdedah dengan pelbagai teknologi. Sebagai contoh, berdasarkan novel, penulis menceritakan situasi apabila salah seorang teman Harlina, iaitu Zaitun lemas dihanyutkan arus deras, penduduk kampung dilihat begitu cakna antara satu sama lain dan saling berganding-bahu membantu pihak polis dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa. Elemen budaya seperti kepercayaan pada ilmu mantera juga dapat dilihat dalam nomik seperti dalam situasi ketika Harlina membaca mantera bertujuan mengelak diri daripada bertemu binatang buas. Manteranya berbunyi seperti ini: "Pok Tik, Mok Tik, Callili namomu." Kedengaran comel sahaja mantera ini... 😄

3. Elemen agama


Daripada penelitian cik Kemboja terhadap nomik ini, penulis sentiasa menerapkan elemen agama secara tidak langsung semasa berkarya. Misalnya, melalui watak atuk Harlina, penulis menyampaikan ilmu tentang cara untuk khusyuk dalam solat. Selain itu, penulis juga menyelitkan ilmu halal dan haram. Sebagai contoh, semasa Harlina bersekolah di sekolah Cina, Harlina selalu diingatkan oleh rakan-rakannya agar berhati-hati semasa membeli makanan kerana dikhuatiri mengandungi daging khinzir yang haram dimakan oleh orang Islam. Penulis juga menerapkan prinsip keislaman, iaitu kebergantungan yang tinggi kepada Allah. Dalam hal ini, penulis memperlihatkan konsep bunuh diri bukanlah cara untuk melepaskan diri daripada masalah yang dihadapi. Melalui watak Harlina, walaupun beliau berada dalam kesusahan, namun beliau sentiasa berpegang pada pesanan ustaznya sewaktu kecil bahawa bunuh diri merupakan perbuatan yang dilaknat Allah dan tidak diterima oleh bumi.


4. Elemen motivasi


Ya, dah namanya nomik motivasi, mestilah akan hadir elemen motivasi yang mampu menyuntik semangat pembaca. 💪💪💪 Pelbagai elemen motivasi diterapkan dalam nomik ini seperti sikap tidak mudah putus asa, sentiasa berusaha ke arah kemajuan diri dan kebaikan, sikap menghormati guru dan tidak memandang rendah akan kemampuan orang lain. Jujur Cik Kemboja katakan, Cik Kemboja begitu terkesan dengan semangat yang ditonjolkan oleh watak Harlina. Walaupun beliau bukanlah pelajar yang pandai dan sering menduduki tempat tercorot dalam tingkatan, namun  disebabkan semangat untuk mengubah nasib diri dan keluarga, beliau mampu memasuki kelas aliran sains dan mengambil jurusan perubatan sehingga bergelar seorang doktor. Sebagai contoh, pada setiap hari, setelah tamat sesi persekolahan, beliau tidak tergopoh-gapah untuk menikmati hidangan tengah hari, sebaliknya menyiapkan dahulu segala latihan dan tugasan yang diberikan guru kepadanya. Pada pengamatan Cik Kemboja, sikap inilah yang perlu dicontohi oleh para pelajar.

Betul atau tidak? 😉 Walau bagaimanapun, pelajar tidak perlulah mengabaikan jadual pemakanan kerana makanan yang sihat akan memberikan pelajar tenaga untuk meneruskan aktiviti pembelajaran.


Kesimpulannya, nomik Impian Harlina bukan sahaja memberikan suntikan semangat kepada individu untuk terus berjuang menggapai impian dan cita-cita, malah pada masa yang sama, pembaca juga mendapat input bermanfaat melalui perkongsiaan tentang ilmu agama dan juga menekatkan para pembaca dengan pengajaran nilai budaya yang semakin dipinggirkan oleh masyarakat kini.


Baiklah. Setakat ini dahulu perkongsian Cik Kemboja mengenai nomik Impian Harlina. Semoga bertemu kembali. Sebelum itu, Cik Kemboja nukilkan sebuah pantun:


              Kalau ada sumur di ladang,

                   Izinkan saya menumpang mandi;
              Kalau ada umur yang panjang,
                   Bertemu kita di lain entri. 💗



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...