Isnin, 14 Mei 2018

ASPIRASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

TAMAN (2) 
Denny J.A.




(sumber: https://www.youtube.com/watch?v=Al8N0wL6sZQ)

Elemen Multimedia dalam E-Sajak Taman (2)
 karya Denny J.A.

Pemanfaatan elemen-elemen multimedia dalam e-sajak akan menjadikan representasi video itu menjadi lebih menarik. terdapat lima jenis elemen multimedia, iaitu: 

1) Audio
2) Video
3) Grafik
4) Teks 
5) Animasi

AUDIO 




Berdasarkan penelitian yang dibuat berdasarkan e-sajak Taman (2), elemen audio telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pembikin video. Dalam konteks audio, muzik latar yang digunakan menepati tema sajak ini. iaitu muzik latar yang menggambarkan keriangan, kebebasan serta muzik latar itu juga mampu memberikan semangat positif kepada pendengar. Hal ini amat bersesuaian dengan tema sajak yang berkaitan dengan perasaan bahagia yang baharu dikecapi oleh sepasang suami isteri atau kekasih. Perasaan bahagia yang cuba ditonjolkan dalam video ini ternyata berjaya apabila nada yang digunakan oleh pendeklamator itu menepati tema. Beliau menggunakan nada romantik. Merujuk Ahmad Yani Salleh (2009), nada romantik menggambarkan suasana hati yang tenang dan menyenangkan. Tekanan suara yang digunakan ialah suara yang agak tinggi dan diselangi oleh tekanan suara yang rendah dan perlahan. 



VIDEO



Video merupakan elemen multimedia yang boleh memberikan kesan langsung yang lebih mendalam kepada para penonton untuk memahami  mesej e-sajak yang dipaparkan itu. Setelah menekuni e-sajak yang bertajuk Taman (2) karya Denny J.A., dapat dilihat bahawa video yang menunjukkan suasana flora dan fauna  yang cantik serta ekosistem yang baik ternyata dapat memanifestasikan tajuk dan tema sajak dengan jelas. Video keindahan bunga-bunga yang mengembang, burung-burung berterbangan, kicauan burung, kecantikan gunung ganang dan hutan rimba sebenarnya mempunyai makna yang implisit. Pemaparan keindahan-keindahan ini berfungsi sebagai satu lambang untuk menggambarkan perasaan indah yang dirasai oleh dua insan yang sedang menyulam kasih. Ternyata, dengan adanya video sebagai salah satu elemen multimedia, kesan emosi kegembiraan, kebahagian dan keriangan dapat dirasai dengan lebih mendalam oleh para penonton e-sajak tersebut. Hal ini demikian kerana perkaitan yang jelas dan sesuai antara video yang dan tema sajak menjadikan maksud yang ingin disampaikan melalui pemaparan e-sajak itu mampu diinterpretasikan dengan tepat dan mudah.

GRAFIK


Grafik memfokuskan elemen seperti imej, ilustrasi serta pemilihan warna dalam e-sajak yang dihasilkan itu. Grafik juga memainkan peranan yang penting untuk memberikan kesan kepada emosi penonton. Penerapan elemen grafik ke dalam e-sajak boleh membantu dalam memberikan kesan emosi yang lebih efektif kepada para penonton. Mengambil contoh e-sajak Taman (2), dapat dilihat bahawa penggunaan imej haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah sangat tepat dan bersesuaian dengan sajak ini. Dalam e-sajak Taman (2),imej burung berterbangan, burung sedang bersiul, bunga-bungaan yang sedang kembang mekar pada waktu pagi telah diaplikasikan dengan sangat baik. Malah, pemilihan warnanya juga adalah sesuai dan tidak menampakkan gabungan warna yang janggal atau melebih-lebih. Hal ini demikian kerana dalam konteks penggunaan warna dalam satu-satu ilustrasi, bilangan warna yang dipilih hendaklah tidak melebihi daripada tiga warna. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada ilustrasi itu kelihatan terlalu 'sarat' atau 'berserabut'. 


TEKS




Teks merujuk tulisan bait-bait sajak yang dipaparkan di dalam video itu. Pemaparan teks ini melibatkan jenis tulisan, saiz tulisan dan warna yang digunakan dalam sajak ini. Setelah meneliti e-sajak Taman (2), dapat dilihat bahawa jenis tulisan yang digunakan adalah berangkai. Tulisan berangkai adalah sesuai digunakan dalam konteks tidak rasmi, sebagaimana dalam tema percintaan ini. Secara psikologinya juga, tulisan berangkai lebih menunjukkan kehalusan dalam penulisan itu. Seterusnya, saiz tulisan dalam e-sajak ini juga adalah sesuai, iaitu tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Namun, dari segi pemilihan warna, terdapat sedikit kekurangan. E-sajak ini menggunakan warna putih sebagai warna tulisan. Apabila berlakunya transformasi kepada video lain yang berlatar belakangkan warna putih, tulisan itu sudah tenggelam dan sepatutnya warna itu perlulah ditukar kepada warna yang lain. Jika warna pada tulisan itu tidak jelas, hal ini akan mengganggu konsentrasi penonton terhadap video itu.   

ANIMASI
Animasi merupakan satu proses untuk menjadikan sesuatu kelihatan hidup. Animasi turut melibatkan 'fade in' dan 'fade out' yang digunakan dalam video itu. Berdasarkan e-sajak itu, dapat dilihat bahawa latar yang digunakan menggunakan unsur alam yang hidup. Penggunaan unsur alam yang hidup sebagai latar belakang ini dapat membantu menambahkan kefahaman terhadap isi kandungan sajak itu dan secara tidak langsung meningkatkan penerimaan penonton terhadap video itu. Seterusnya, 'fade in' dan 'fade out' yang digunakan terhadap teks dalam sajak ini juga adalah tepat, sesuai dan dari segi masa peralihan bagi transformasi video ke video yang lain juga tepat dan bersesuaian. Elemen-elemen ini menjadikan e-sajak itu bertambah menarik untuk ditonton kerana semua elemen multimedia ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. 


BUAH DURIAN BUAH SELASIH,
SEKIAN, TERIMA KASIH.💝

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...