Pernahkah kita terfikir bahawa kemajuan
teknologi mampu merakyatkan cerita yang menjadi teladan kepada rakyat? Jika sebelum ini, cerita rakyat Nusantara
yang dipersembahkan secara verbal atau lisan oleh penglipur lara telah berubah
konsep. Kini, era digital dikatakan bertindak sebagai penglipur lara moden.
Bagaimanakah caranya?
Menuju wawasan 2020, platform digital
semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Pada masa ini, internet secara
tidak langsung menjadi cara hidup masyarakat. Perasaan resah mula menyelebungi
diri jika tidak dapat berkongsi status di laman sosial. Walaupun sesetengah
individu memandang sinis perubahan teknologi yang dikatakan akan merosakkan
anak bangsa, namun evolusi digital ini tidak dapat disekat. Malahan, dunia kini
menuntut penghuninya untuk memanfaatkan platform digital ini. Hal ini dapat dilihat
melalui penawaran kursus berkaitan ilmu digital dan multimedia di institut pengajian tinggi dalam negara. Selain
itu, era digital mewujudkan impak yang besar kepada bidang perniagaan, iaitu
wujudnya bidang perniagaan secara atas talian yang membuka peluang berniaga
kepada masyarakat.
Begitu juga dengan medium penyampaian karya sastera, khususnya cerita rakyat yang berfungsi sebagai teladan kepada masyarakat. Jika dahulu, kebanyakan cerita rakyat hanya disampaikan secara lisan yang diperturun dari satu generasi ke generasi lain. Penyampaian secara lisan ini juga terhad, iaitu hanya kepada masyarakat setempat sahaja. Meskipun terdapat cerita rakyat yang telah dibukukan, namun naskhah tersebut berkemungkinan sukar diperoleh oleh masyarakat luar negara serta memerlukan kos penghantaran yang tinggi. Namun begitu, fenomena digital kini telah mengubah representasi cerita rakyat. Sebagai contoh, melalui buku digital, cerita rakyat disampaikan dengan cara lebi interaktif. Menurut Imam Maulana & Arus Prasetia (2015: pp.6), buku cerita digital merupakan produk multimedia yang dihasilkan melalui proses adaptasi daripada buku cerita yang mengalami proses digitalisasi menggunakan komputer. Dalam hal ini, penyampaian cerita rakyat ini bukan hanya bersifat pemindahan dari buku cetak kepada buku digital, sebaliknya diterapkan pelbagai ciri multimedia untuk menjadikan sesuatu produk itu lebih menarik seperti memasukkan elemen ilustrasi, audio, video dan animasi. Sebagai contoh, cerita Bawang Putih dan Merah mengalami proses digitalisasi menjadi buku cerita digital yang sarat dengan elemen multimedia agar penceritaannnya lebih bersifat interaktif.

Sumber:
(Ceri: Wonderful Indonesian Children Storybook Collection)
Jika dilihat pada aplikasi buku digital ini, aplikasi ini tidak terhad kepada teks yang digunakan untuk menyampaikan cerita rakyat ini, tetapi memperkenalkan watak animasi yang dapat menimbulkan minat pembaca apabila memuat turun aplikasi ini. Dalam konteks ini, aplikasi ini turut menyediakan beberapa aktiviti bersifat interaktif seperti permainan susun gambar di samping pembaca diajak untuk mengembara bersama Bawang Putih. Penggunaan muzik latar (BGM) dapat mengelakkan pembaca berasa bosan. Lebih menarik lagi, pengguna aplikasi boleh memilih bahasa sama ada bahasa Inggeris atau dalam bahasa Indonesia. Hal ini akan menjadikan aplikasi buku digital lebih efektif dan menarik berbanding buku cetak.
Adakah saluran YOUTUBE juga bertindak sebagai penglipur lara moden?
Pada masa ini, saluran youtube merupakan contoh perkembangan era digital. Saluran ini membenarkan pengguna untuk muat naik, menonton, berkongsi, memberi skor dan memberi komen terhadap video yang dimuat naik serta subscribe laman pengguna lain. Dalam konteks ini, saluran youtube boleh dianggap sebagai ‘penglipur lara moden’ yang menyediakan pelbagai jenis tontonan cerita rakyat. Hal ini kerana saluran youtube dilihat mampu membantu menyebar luaskan cerita-cerita rakyat nusantara kepada masyarakat dunia, iaitu dengan cara individu memuat naik cerita rakyat dalam saluran youtube. Secara tidak langsung, penyebaran cerita melalui saluran youtube ini membantu masyarakat dunia untuk mengenali lebih mendalam tentang budaya nusantara. Hal ini demikian kerana, cerita rakyat bukan sahaja sarat dengan nilai dan pengajaran, malah menunjukkan budaya sesuatu tempat atau masyarakat. Di samping itu, melalui medium ini, penyampaian cerita rakyat dapat dikekalkan dan tidak hanya perlu bergantung kepada individu sebagai seorang penglipur lara. Kini, pelbagai cerita rakyat boleh didapati oleh pengguna saluran ini. Lebih menarik lagi, cerita rakyat ini tidak lagi disampaikan secara verbal atau menggunakan elemen audio semata-mata, namun turut mengaplikasikan elemen multimedia yang lain seperti animasi, grafik, video dan sebagainya mengikut kreativiti individu. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa era digital sememangnya mampu merakyatkan penyampaian cerita rakyat nusantara daripada terus berada di takuk lama. Hal ini juga dilihat sebagai suatu inovasi bidang sastera dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu sastera dan budaya melayu kepada masyarakat umum.
Setakat ini sahaja perkongsian Cik Kemboja dalam entri kali ini. Sebelum berpisah, Cik Kemboja nak berkongsi sebuah pantun...
Bersengkang mata sampai ke pagi,
Fikiran berserabut otak berselirat;
Ilmu dicari tidakkan rugi,
Buat bekalan dunia akhirat.
Semoga berjumpa di entri yang lain pula. 😃😄
Tiada ulasan:
Catat Ulasan