Selasa, 15 Mei 2018

ERA DIGITAL MERAKYATKAN PENYAMPAIAN CERITA RAKYAT NUSANTARA


Pernahkah kita terfikir bahawa kemajuan teknologi mampu merakyatkan cerita yang menjadi teladan kepada rakyat?  Jika sebelum ini, cerita rakyat Nusantara yang dipersembahkan secara verbal atau lisan oleh penglipur lara telah berubah konsep. Kini, era digital dikatakan bertindak sebagai penglipur lara moden.

Bagaimanakah caranya?

Menuju wawasan 2020, platform digital semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Pada masa ini, internet secara tidak langsung menjadi cara hidup masyarakat. Perasaan resah mula menyelebungi diri jika tidak dapat berkongsi status di laman sosial. Walaupun sesetengah individu memandang sinis perubahan teknologi yang dikatakan akan merosakkan anak bangsa, namun evolusi digital ini tidak dapat disekat. Malahan, dunia kini menuntut penghuninya untuk memanfaatkan platform digital ini. Hal ini dapat dilihat melalui penawaran kursus berkaitan ilmu digital dan multimedia  di institut pengajian tinggi dalam negara. Selain itu, era digital mewujudkan impak yang besar kepada bidang perniagaan, iaitu wujudnya bidang perniagaan secara atas talian yang membuka peluang berniaga kepada masyarakat.

Begitu juga dengan medium penyampaian karya sastera, khususnya cerita rakyat yang berfungsi sebagai teladan kepada masyarakat. Jika dahulu, kebanyakan cerita rakyat hanya disampaikan secara lisan yang diperturun dari satu generasi ke generasi lain. Penyampaian secara lisan ini juga terhad, iaitu hanya kepada masyarakat setempat sahaja. Meskipun terdapat cerita rakyat yang telah dibukukan, namun naskhah tersebut berkemungkinan sukar diperoleh oleh masyarakat luar negara serta memerlukan kos penghantaran yang tinggi. Namun begitu, fenomena digital kini telah mengubah representasi cerita rakyat. Sebagai contoh, melalui buku digital, cerita rakyat disampaikan dengan cara lebi interaktif. Menurut Imam Maulana & Arus Prasetia (2015: pp.6), buku cerita digital merupakan produk multimedia yang dihasilkan melalui proses adaptasi daripada buku cerita yang mengalami proses digitalisasi menggunakan komputer. Dalam hal ini, penyampaian cerita rakyat ini bukan hanya bersifat pemindahan dari buku cetak kepada buku digital, sebaliknya diterapkan pelbagai ciri multimedia untuk menjadikan sesuatu produk itu lebih menarik seperti memasukkan elemen ilustrasi, audio, video dan animasi. Sebagai contoh, cerita Bawang Putih dan Merah mengalami proses digitalisasi menjadi buku cerita digital yang sarat dengan elemen multimedia agar penceritaannnya lebih bersifat interaktif. 




Sumber:
(Ceri: Wonderful Indonesian Children Storybook Collection)

Jika dilihat pada aplikasi buku digital ini, aplikasi ini tidak terhad kepada teks yang digunakan untuk menyampaikan cerita rakyat ini, tetapi memperkenalkan watak animasi yang dapat menimbulkan minat pembaca apabila memuat turun aplikasi ini. Dalam konteks ini, aplikasi ini turut menyediakan beberapa aktiviti bersifat interaktif seperti permainan susun gambar di samping pembaca diajak untuk mengembara bersama Bawang Putih. Penggunaan muzik latar (BGM) dapat mengelakkan pembaca berasa bosan. Lebih menarik lagi, pengguna aplikasi boleh memilih bahasa sama ada bahasa Inggeris atau dalam bahasa Indonesia. Hal ini akan menjadikan aplikasi buku digital lebih efektif dan menarik berbanding buku cetak. 

Adakah saluran YOUTUBE juga bertindak sebagai penglipur lara moden?



Pada masa ini, saluran youtube merupakan contoh perkembangan era digital. Saluran ini membenarkan pengguna untuk muat naik, menonton, berkongsi, memberi skor dan memberi komen terhadap video yang dimuat naik serta subscribe laman pengguna lain. Dalam konteks ini, saluran youtube boleh dianggap sebagai ‘penglipur lara moden’ yang menyediakan pelbagai jenis tontonan cerita rakyat. Hal ini kerana saluran youtube dilihat mampu membantu menyebar luaskan cerita-cerita rakyat nusantara kepada masyarakat dunia, iaitu dengan cara individu memuat naik cerita rakyat dalam saluran youtube. Secara tidak langsung, penyebaran cerita melalui saluran youtube ini membantu masyarakat dunia untuk mengenali lebih mendalam tentang budaya nusantara. Hal ini demikian kerana, cerita rakyat bukan sahaja sarat dengan nilai dan pengajaran, malah menunjukkan budaya sesuatu tempat atau masyarakat. Di samping itu, melalui medium ini, penyampaian cerita rakyat dapat dikekalkan dan tidak hanya perlu bergantung kepada individu sebagai seorang penglipur lara. Kini, pelbagai cerita rakyat  boleh didapati oleh pengguna saluran ini. Lebih menarik lagi, cerita rakyat ini tidak lagi disampaikan secara verbal atau menggunakan elemen audio semata-mata, namun turut mengaplikasikan elemen multimedia yang lain seperti animasi, grafik, video dan sebagainya mengikut kreativiti individu. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa era digital sememangnya mampu merakyatkan penyampaian cerita rakyat nusantara daripada terus berada di takuk lama. Hal ini juga dilihat sebagai suatu inovasi bidang sastera dalam usaha untuk menyebarluaskan ilmu sastera dan budaya melayu kepada masyarakat umum. 

Setakat ini sahaja perkongsian Cik Kemboja dalam entri kali ini.  Sebelum berpisah, Cik Kemboja nak berkongsi sebuah pantun...

Bersengkang mata sampai ke pagi, 
        Fikiran berserabut otak berselirat;
                                      Ilmu dicari tidakkan rugi,
Buat bekalan dunia akhirat. 


Semoga berjumpa di entri yang lain pula. πŸ˜ƒπŸ˜„






FALSAFAH TEORI TAKMILAH


Teori Takmilah berasal daripada kata akar kamal yang berhubungan dengan Tajmilah dan Jamal. Perkataan ini juga merujuk kata Takmilah, iaitu istilah Arab yang bermaksud penyempurnaan. Istilah ini telah melalui beberapa tahap penggunaannya sebagaimana yang telah dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar (1988). Pada tahap pertama, kertas kerja yang berkaitan dengan teori ini telah ditulis oleh Shafie Abu Bakar dengan tajuk “Sastera Islam: Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid”. Kertas ini telah dibentangkan di Port Dickson pada tahun 1992. Seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur ini telah berjaya menonjolkan penggunaan kata tajmilah (pengindahan) dan kata takmilah (penyempurnaan) walaupun kedua-dua istilah itu tidak digunakan dengan lebih terperinci. Berturutan daripada perkara tersebut, Shafie Abu Bakar (1994, p.136-159), meneruskan penggunaan kata takmilah dalam kertas kerja yang berjudul “Teks Hadiqat al-Azhar wa al-Rahayin: Sebagai Model Sastera Islam” dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu III yang dianjurkan oleh Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993. Kertas kerja ini juga berjaya menonjolkan istilah takmilah yang digunakan dalam pengolahan teks walaupun bukan sebagai tajuk kertas kerja. Akhirnya, penggunaan istilah takmilah telah dipilih oleh Shafie Abu Bakar sebagai tajuk kertas kerja sewaktu Nadwah Sastera Islam Antarabangsa yang telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993 dengan judul “Takmilah : Teori Sastera Islam”.
Lanjutan daripada pemeringkatan penggunaan teori ini, gagasan teori Takmilah menetapkan ciri-ciri tertentu untuk mengukur kedudukan sesebuah teori sastera Islam. Menurut Shafie Abu Bakar (1988, p.50-51), ciri-ciri yang perlu ada dalam sastera Islam ialah pertama, perlu berada dalam ruang lingkup falsafah tauhid dan kedua, teks tidak boleh terpisah daripada nilai yang berdasarkan keislaman. Sebagai contoh, sejauh manakah amanat yang dibawa mengukuhkan, bersesuaian atau bercanggah dengan nilai-nilai keislaman? Seterusnya, pengarang dan teks perlu mempunyai hubungan dalam kaitannya dengan nilai keislaman kecuali pengarang tidak diketahui. Ciri berikutnya ialah tidak dikaitkan dengan ideologi tertentu yang berlawanan dengan Islam dan ciri terakhir ialah wujudnya unsur-unsur yang menganjur (secara tersirat) ke arah kebaikan seperti pendidikan, dakwah, takwa, keluhuran, kemurnian hidup, kecintaan kepada Ilahi, pembelaan dan terhadap yang tertindas. Dengan kata lain, gagasan teori Takmilah amat menitikberatkan penghasilan karya yang bersifat vertikal, iaitu hubungan baik dengan Allah dan output pembacaan yang bersifat horizontal, iaitu hubungan baik sesama manusia. Secara tidak langsung, pengaplikasian teori Takmilah dalam menghasilkan karya-karya berunsurkan Islam dapat meningkatkan lagi mutu karya sastera Islam sekali gus mampu menyebarluaskan syiar Islam ke seantero dunia.


PRINSIP-PRINSIP TEORI TAKMILAH

Secara umumnya, teori Takmilah bersifat holistik yang melibatkan hubungan manusia, iaitu pengkarya dan khalayak menerusi karyanya dengan ketuhanan, kenabian dan keilmuan. Oleh itu, teori ini menggariskan tujuh prinsip yang mendasari aspek-aspek teori ini iaitu:


A. Prinsip Kerasulan yang Bersifat Kamal (Sempurna)

Berdasarkan prinsip yang pertama ini, teori Takmilah menghuraikan hubungan dua sifat Allah SWT yang merupakan “kamal” (sempurna) dan “jamal” (keindahan). Kedua-dua sifat ini mempunyai hubungan erat yang dapat menghubungkan Allah SWT dengan manusia. Penelitian sifat “kamal” dan “jamal” dilihat melalui kewujudan manusia yang dicipta oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Berdasarkan proses penciptaan manusia dan kejadian alam melalui sifat “kamal” yang dimiliki oleh Allah SWT telah menyerlahkan sifat jamal-Nya. Hal ini telah termaktub dalam al-Quran yang menyatakan bahawa kebesaran Allah SWT menciptakan manusia telah dapat menggambarkan “kesempurnaan” dan “keindahan”. Antaranya surah yang menyebut perihal kesempurnaan dan keindahan ini ialah dalam Surah-Tin ayat 4 yang membawa maksud :


“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.


Hal ini telah mencerminkan aspek keindahan (estetik) terhadap manusia, iaitu kejadian mereka telah disempurnakan oleh Allah SWT sebagai Yang Maha Sempurna dan Yang Maha Indah. Berhubungan dengan itu, dalam konteks sastera yang menjadikan manusia dan alam sebagai fokus dalam berkarya serta menjadikan seni sebagai satu keindahan, penulis perlu meningkatkan diri ke arah kesempurnaan. Oleh itu, Shafie (1997, p.132), mengasaskan bahawa melalui rangka teori yang berhubungan dengan Allah SWT, sastera dilihat tidak asing daripada Islam tetapi ia mencerminkan kesyumulan Islam.


B.     Prinsip Kerasulan sebagai Insan Kamil (Sempurna)

Berdasarkan prinsip kedua, teori Takmilah mengemukakan perhubungan teori dengan Rasul sebagai insan kamil (sempurna).  Pemilikan sifat “kamil” yang ada pada peribadi Rasulullah SAW tersebut mempunyai pertalian dengan istilah sifat “kamal” Allah SWT sebagai Yang Maha Sempurna. Penonjolan istilah “kamil” yang dipahatkan pada Rasulullah sebagai insan kamil bagi mengukuhkan kewujudan manusia dengan sebaik-baik kejadian yang seterusnya mempunyai pemimpin yang dapat melaksanakan perintah-Nya. Berdasarkan sifat ‘kamil’ yang terdapat pada Rasulullah, hamba Allah daripada dahulu hingga ke hari ini akan mempunyai rol model terunggul dalam merealisasikan kehidupan dengan baik.

            Dalam falsafah pemikiran Islam, terdapat tiga konsep ideal keinsanan, iaitu insan kamil, insan khalifah dan insan rabbani. Ketiga-tiga konsep ini merupakan tahap kedudukan manusia di dunia dalam menyempurnakan perintah Allah dan hukum yang ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis. Insan khalifah merujuk kepada kemampuan insan menjadi pemimpin di bumi Allah apabila telah memenuhi syarat-syarat sebagai khalifah. Contohnya, berilmu dan berkeperibadian tinggi yang menyumbang kepada ketamadunan dan peradaban insan. Perkara ini boleh dilihat dalam Surah al-Baqarah Ayat 30.

            Konsep kedua ialah insan rabbani yang merujuk kepada pengabdian diri dan rohani manusia kepada Allah dengan khusyuk. Perkara ini akan meningkatkan kualiti manusia sebagai insan berwibawa dan cemerlang sekali gus mengangkat martabat Islam di dunia. Konsep ketiga, iaitu insan kamil pula merujuk kepada gabungan antara insan khalifah dan rabbani kerana insan kamil mampu menampilkan kemurnian akhlak dan merupakan tahap tertinggi kedudukan manusia di dunia. Contoh yang paling ideal ialah sifat Rasulullah SAW yang digelar sebagai al-amin (yang jujur dan benar), al-mustafa (yang terpilih) dan al-habib (kekasih Allah). Sehubungan itu, dalam konteks sastera, “Takmilah” keinsanan berfungsi untuk meningkatkan keinsanan menjadi lebih ahsan (seindah-indahnya) bagi kedua-dua insan (khalifah dan rabbani) untuk mencapai tahap insan kamil yang dimiliki oleh Rasulullah sebagai rol model dalam Islam.



C.    Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal (Sempurna)

Islam merupakan agama yang lengkap dari semua aspek kehidupan. Hal ini demikian kerana Islam bukan sahaja dilihat sebagai agama yang dipercayai, malah mencerminkan cara kehidupan seseorang. Kepelbagaian aspek kehidupan pula menggambarkan keharmonian umat. Islam menganjurkan amalan nilai-nilai murni yang semestinya ke arah kebaikan. Maka, sastera merupakan salah satu aspek yang mendatangkan nilai-nilai murni kepada masyarakat kerana mengandungi unsur didaktik. Shafie Abu Bakar (1996, p. 29) dalam Adnan Ahmad (2009) menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang sempurna dan mampu menyempurnakan segala aspek kehidupan manusia termasuk aspek bersastera. Karya yang baik mempunyai sifat agama Islam yang sempurna dan membawa masyarakat ke arah kebaikan dengan meningkatkan keimanan serta ketakwaan melalui karyanya. Karya sastera seharusnya bersandarkan al-Quran dan Hadis kerana ia memainkan peranan dalam mendidik individu dan masyarakat mempraktikkan ajaran Islam. Kesempurnaan hidup seseorang memerlukan panduan dan Islam ialah panduan dalam kehidupan.

           Kesempurnaan agama Islam bukan sahaja dilihat pada keimanan sahaja, tetapi praktik amalan dan mematuhi segala syariat Islam. Akidah dan syariat memainkan peranan penting dalam melahirkan nilai keihsanan dalam diri seseorang. Dengan konsep akidah dan syariat, lengkap konsep kesempurnaan Islam yang diredai Allah. Hal ini dibuktikan dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud : ("Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang yang telah diberi al-kitab kecuali setelah datang pengetahuan kepada mereka kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kufur terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya").


D.    Prinsip Ilmu dengan Sastera yang Bersifat Takmilah (Menyempurnakan)

Melalui prinsip ini, Shafie menghujahkan keperluan ilmu dengan sastera yang menjadikan teori Takmilah sebagai teori yang saling melengkapkan, iaitu takamul. Menurut Shafie (1997: 135), konsep ini mempunyai hubungan antara ilmu dengan sastera yang melibatkan akal dan hati. Hal ini demikian kerana dalam Islam, alat utama untuk memperoleh ilmu ialah akal, manakala melalui hati pula, ia merupakan saluran ke arah keilmuan yang bersifat rohani yang dikenali sebagai makrifat (Shafie Abu Bakar, 1997, p.136). Berkait dengan perkara tersebut, ternyata ilmu dan sastera saling memerlukan bagi menghasilkan sebuah karya yang berkualiti. Perkara ini dikuatkan lagi melalui penjelasan dalam al-Quran tentang kepentingan ilmu contohnya dalam Surah al-Hajj Ayat 54.

            Perkara ini boleh dilihat melalui penghasilan sesebuah puisi atau novel yang mengemukakan persoalan tentang ketuhanan. Ini sudah pasti memerlukan ilmu agama sebagai tunjang untuk dijadikan fokus dalam karya tersebut. Sehubungan itu, sesebuah hasil sastera boleh menjadi karya yang berpendidikan berdasarkan perutusan yang dibawa itu. Oleh yang demikian, perkara ini membuktikan bahawa sastera bersifat takamul terhadap ilmu, manakala ilmu pula bersifat takamul kepada sastera. Melalui karya sastera, prinsip keempat ini boleh diaplikasikan dalam teks yang mempertautkan hubungan ilmu dan sastera yang mengarah kepada kesempurnaan.



E.     Prinsip Sastera Sendiri yang Berciri Estetik dan Bersifat Takmilah (Sempurna dan               Menyempurnakan)

Berdasarkan prinsip kelima ini, teori Takmilah yang dikemukakan oleh Shafie membawa penelitian terhadap ciri estetik yang menjadikan sesebuah karya itu bersifat takmilah. Karya dalam konteks teori ini menjelaskan faktor-faktor yang sepatutnya dapat mempertingkatkan sesebuah karya. Malahan, ciri estetik dalam konteks Islam menonjolkan tahap keprihatinan manusia meneliti alam dan kehidupan ini untuk diaplikasikan dalam karya sebagaimana yang telah termaktub dalam al-Quran contohnya dalam Surah al-Hajj Ayat 5 yang bermaksud:


“…Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah”.

            Dalam hal ini karya dilihat melalui kandungannya yang bercirikan lahiriah, iaitu yang mengandungi teknik penciptaan sesebuah karya seperti bentuk, struktur, plot, watak, bahasa, diksi, nada, stilistik, rima, matra, suku kata, asonansi dan aliterasi. Bercirikan maknawi pula, iaitu yang mengandungi isi, tema, idea, mesej, sudut pandangan, nilai, simbol, metafora, simile dan sebagainya. Kesemua elemen tersebut yang melengkapkan proses pembinaan sesebuah karya secara kreatif, indah dan berseni. Ia seterusnya merupakan “takmilah” dalam karya sastera. Sehubungan itu, “takmilah” dalam karya diperhatikan melalui bentuk, isi, tema, struktur dan etnik, watak dan perwatakan, latar, aspek bahasa, diksi dan terminologi serta estetika.


F.     Prinsip pada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikmalkan Diri  (Menyempurnakan)

Pada prinsip keenam ini, Shafie telah mengajukan keperluan bagi mengistikmalkan (menyempurnakan diri dengan ilmu untuk menghasilkan sebuah karya yang sempurna). Pengkarya dalam konteks teori ini menyorot kemampuan karya yang dihasilkan benar-benar berunsurkan Islam berlandaskan ilmu keislaman dan ilmu kesusasteraan yang dimiliki oleh penulis untuk diaplikasikan dalam karyanya. Berhubungan dengan itu, individu perlu arif dalam keilmuan Islam bukan sekadar ilmu asas (Rukun Islam dan Rukun Iman) tetapi harus mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut dalam kehidupan mereka. Hal ini dikuatkan dengan gagasan yang telah digariskan dalam al-Quran yang menyarankan setiap Muslim meneroka ilmu dengan sebaik mungkin contohnya dalam Surah al-Kahfi Ayat 65 dan Surah Saba’ Ayat 6.

            Selain itu, untuk menghasilkan karya berunsurkan Islam, penulis bukan sekadar menguasai tradisi sastera Islam sebagai teladan semata-mata, tetapi penulis perlu menguasai ilmu yang berkaitan dengan sastera umum (teori dan kritikan sastera atau perkembangan isu-isu semasa) yang dapat mengembangkan kefahamannya mengenai sastera yang seterusnya menggunakan dalam karya-karyanya mengikut kesesuaian sastera Islam. Prinsip ini boleh digunakan pengkaji terhadap karya sastera yang mempamerkan penulisnya membawa sudut pandangan, nilai dan amanat, latar, pengaruh dan budaya dalam karyanya. Oleh itu, prinsip ini dapat digunakan dalam karya sastera yang membawa nilai Islam atau mesej tentang keagamaan.


G.    Prinsip Khalayak Bertujuan Memupuk Mereka ke Arah insan Kamil (Sempurna)
Berdasarkan gagasan yang telah dikemukakan oleh Shafie, teori Takmilah menampilkan hubungan khalayak dengan pembaca ke arah membentuk insan Kamil menerusi hasil karya yang bersifat takmilah (Sempurna). Khalayak dalam konteks teori ini merupakan sambutan pembaca atau pengkaji kepada sesebuah karya sastera yang dikemukakan oleh seseorang penulis dengan nilai-nilai kebaikan yang mencorakkan ke arah keinsafan. Dalam hal ini, khalayak diperhatikan sama ada sebagai seorang individu atau sebagai jemaah (kelompok besar) dalam komuniti masyarakat yang mengikuti perkembangan hasil karya sastera Islam yang ditulis oleh seseorang penulis.

            Oleh itu, peranan khalayak dalam memajukan perkembangan kesusasteraan Islam sangat besar memandangkan sesebuah karya hanya akan mencapai sasaran dakwahnya atau unsur pengajaran sekiranya dinikmati atau dibaca oleh khalayak. Justeru, penguasaan ilmu berkaitan Islam dan sastera juga dituntut ke atas setiap individu dan setiap jemaah. Hal ini bagi memperkukuh prasyarat teori Takmilah yang memerlukan kesepaduan antara khalayak dengan ilmu untuk memupuk mereka ke arah insan Kamil.

            Proses untuk memupuk khalayak menjadi insan kamil sebagai mana yang digagaskan melalui prinsip ketujuh ini mempamerkan kesan baik dan murni yang dapat diutarakan oleh penulis dalam karyanya. Pengutaraan kesan yang baik dan murni ini bukan sekadar menampilkan karya dengan makna yang tersurat, tetapi meliputi juga makna yang tersirat supaya khalayak benar-benar menikmati nilai “kebaikan” dan “kemurnian” sebagai iktibar atau contoh dalam kehidupan mereka. 


Berikut merupakan kajian yang telah dijalankan berdasarkan Teori Takmilah bertajuk Prinsip Keislaman dalam Novel Siber Berhijrahnya Aku Karya Seorang Hamba : Analisis berdasarkan Teori Takmilah:


Sila Klik pada Link di bawah:




Isnin, 14 Mei 2018

MENJADI PENDEKLAMATOR HEBAT? BAGAIMANAKAH CARANYA?

Hye, assalamualaikum semua. Bertemu lagi kita bersama-sama dengan Cik Kemboja dalam entri yang baharu. Pastinya, entri ini ingin mengajak anda semua untuk sama-sama mengetahui dan mempelajari cara-cara untuk menjadi seorang pendeklamator yang hebat. πŸ’ͺSebelum kita melayari bahtera dengan lebih jauh, jom kita saksikan persembahan deklamasi sajak oleh seorang pendeklamator terkemuka di Melaysia, iaitu Encik Ahmad Shukri Abdullah. Beliau pernah menjuarai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan pada suatu ketika dahulu. 😊 


(Sumber : https://www.youtube.com/watch?v=t-iWQ4oV_Tc&t=12s)

Hebat bukan persembahan Encik Ahmad Shukri Abdullah? Tapi bagaimana kita ingin menjadi hebat seperti beliau? Berikut merupakan perkara-perkara yang perlu diketahui untuk menjadi seorang pendeklamator yang hebat. Untuk pengetahuan semua, maklumat-maklumat ini diperoleh daripada Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Lantera Zaman yang telah diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani (2014).

1) VOKAL 

Suara : Memainkan peranan penting untuk menaikkan semangat audiens yang mendengar dan menonton. Sebaik-baiknya, peserta hendaklah memastikan mempunyai suara yang besar, lantang dan parau. 


2) INTONASI

Turun naik suara : Peserta dapat mengawal tinggi rendah atau panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Peserta juga mesti bijak menggunakan jeda, patah-patah kata dan hentian. 


3) NADA

Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi puisi mengikut mood sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut mood dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperoleh markah yang tinggi. 


4) KELANCARAN/ARTIKULASI
  
Kelancaran bererti peserta daoat mendeklamasikan sajak tersebut dengan lancar tanpa tersekat-sekat. atau terhenti mahupun terlupa. Artikulasi itu pula bermaksud peserta dapat menyebut bunyi atau kata dengan jelas. Sebutan mestilah mampu difahami dan menggunakan bahasa Melayu baku. 


 5) MIMIK MUKA

Peserta berjaya meniru, mengajuk gaya, cara setiap sifat da perasaan dalam puisi. Contoh: kalau terdapat perkataan yang membawa maksud marah, sudah pasti peserta memperlihatkan wajah yang marah bukannya tersenyum. Mimik muka ini sangat penting bagi menyatakan maksud sajak yang dideklamasikan itu. 


 6) PENGHAYATAN

Peserta dapat mengalami dan merasai dalam batin, mengalami dan merasai, meresap ke dalam jiwa. Dengan kata lain, peserta mesti berada dalam puisi tersebut. Penghayatan dapat dirasai oleh khalayak daripada keseluruhan deklamasi. 


7) BAHASA TUBUH

Penggunaan anggota badan bagi menyokong, menguatkan lagi maksud kata dan bait dalam deklamasi. Contohnya ialah penggunaan tangan sebagai bahasa badan untuk melambangkan tanah air. 

8) PENAMPILAN 

Penampilan diri sebenar amat penting selain daripada kostium, alat bantu (kalau ada) sesuai, cara deklamasi, berdiri dan bergerak juga amat penting. Hakim akan mengambil kira seawal langkah pertama peserta berjalan di pentas, disimplin diri, pengawalan pembesar suara dianggap penting. 

Jadi, bagaimana semua? Agak-agak setelah membaca entri ini, mutu persembahan sajak anda akan semakin meningkat? InsyaAllah. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ingat, ilmu itu umpama udara yang kita sedut, ilmu ada di mana-mana, serapilah, manfaatkan dan tuntulah ilmu yang boleh membangunkan negara bangsa.

Sekian dahulu untuk entri hari ini. Jumpa lagi semua...😘

Assalamualaikum w.b.t.

ASPIRASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

TAMAN (2) 
Denny J.A.




(sumber: https://www.youtube.com/watch?v=Al8N0wL6sZQ)

Elemen Multimedia dalam E-Sajak Taman (2)
 karya Denny J.A.

Pemanfaatan elemen-elemen multimedia dalam e-sajak akan menjadikan representasi video itu menjadi lebih menarik. terdapat lima jenis elemen multimedia, iaitu: 

1) Audio
2) Video
3) Grafik
4) Teks 
5) Animasi

AUDIO 




Berdasarkan penelitian yang dibuat berdasarkan e-sajak Taman (2), elemen audio telah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pembikin video. Dalam konteks audio, muzik latar yang digunakan menepati tema sajak ini. iaitu muzik latar yang menggambarkan keriangan, kebebasan serta muzik latar itu juga mampu memberikan semangat positif kepada pendengar. Hal ini amat bersesuaian dengan tema sajak yang berkaitan dengan perasaan bahagia yang baharu dikecapi oleh sepasang suami isteri atau kekasih. Perasaan bahagia yang cuba ditonjolkan dalam video ini ternyata berjaya apabila nada yang digunakan oleh pendeklamator itu menepati tema. Beliau menggunakan nada romantik. Merujuk Ahmad Yani Salleh (2009), nada romantik menggambarkan suasana hati yang tenang dan menyenangkan. Tekanan suara yang digunakan ialah suara yang agak tinggi dan diselangi oleh tekanan suara yang rendah dan perlahan. 



VIDEO



Video merupakan elemen multimedia yang boleh memberikan kesan langsung yang lebih mendalam kepada para penonton untuk memahami  mesej e-sajak yang dipaparkan itu. Setelah menekuni e-sajak yang bertajuk Taman (2) karya Denny J.A., dapat dilihat bahawa video yang menunjukkan suasana flora dan fauna  yang cantik serta ekosistem yang baik ternyata dapat memanifestasikan tajuk dan tema sajak dengan jelas. Video keindahan bunga-bunga yang mengembang, burung-burung berterbangan, kicauan burung, kecantikan gunung ganang dan hutan rimba sebenarnya mempunyai makna yang implisit. Pemaparan keindahan-keindahan ini berfungsi sebagai satu lambang untuk menggambarkan perasaan indah yang dirasai oleh dua insan yang sedang menyulam kasih. Ternyata, dengan adanya video sebagai salah satu elemen multimedia, kesan emosi kegembiraan, kebahagian dan keriangan dapat dirasai dengan lebih mendalam oleh para penonton e-sajak tersebut. Hal ini demikian kerana perkaitan yang jelas dan sesuai antara video yang dan tema sajak menjadikan maksud yang ingin disampaikan melalui pemaparan e-sajak itu mampu diinterpretasikan dengan tepat dan mudah.

GRAFIK


Grafik memfokuskan elemen seperti imej, ilustrasi serta pemilihan warna dalam e-sajak yang dihasilkan itu. Grafik juga memainkan peranan yang penting untuk memberikan kesan kepada emosi penonton. Penerapan elemen grafik ke dalam e-sajak boleh membantu dalam memberikan kesan emosi yang lebih efektif kepada para penonton. Mengambil contoh e-sajak Taman (2), dapat dilihat bahawa penggunaan imej haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah sangat tepat dan bersesuaian dengan sajak ini. Dalam e-sajak Taman (2),imej burung berterbangan, burung sedang bersiul, bunga-bungaan yang sedang kembang mekar pada waktu pagi telah diaplikasikan dengan sangat baik. Malah, pemilihan warnanya juga adalah sesuai dan tidak menampakkan gabungan warna yang janggal atau melebih-lebih. Hal ini demikian kerana dalam konteks penggunaan warna dalam satu-satu ilustrasi, bilangan warna yang dipilih hendaklah tidak melebihi daripada tiga warna. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada ilustrasi itu kelihatan terlalu 'sarat' atau 'berserabut'. 


TEKS




Teks merujuk tulisan bait-bait sajak yang dipaparkan di dalam video itu. Pemaparan teks ini melibatkan jenis tulisan, saiz tulisan dan warna yang digunakan dalam sajak ini. Setelah meneliti e-sajak Taman (2), dapat dilihat bahawa jenis tulisan yang digunakan adalah berangkai. Tulisan berangkai adalah sesuai digunakan dalam konteks tidak rasmi, sebagaimana dalam tema percintaan ini. Secara psikologinya juga, tulisan berangkai lebih menunjukkan kehalusan dalam penulisan itu. Seterusnya, saiz tulisan dalam e-sajak ini juga adalah sesuai, iaitu tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Namun, dari segi pemilihan warna, terdapat sedikit kekurangan. E-sajak ini menggunakan warna putih sebagai warna tulisan. Apabila berlakunya transformasi kepada video lain yang berlatar belakangkan warna putih, tulisan itu sudah tenggelam dan sepatutnya warna itu perlulah ditukar kepada warna yang lain. Jika warna pada tulisan itu tidak jelas, hal ini akan mengganggu konsentrasi penonton terhadap video itu.   

ANIMASI
Animasi merupakan satu proses untuk menjadikan sesuatu kelihatan hidup. Animasi turut melibatkan 'fade in' dan 'fade out' yang digunakan dalam video itu. Berdasarkan e-sajak itu, dapat dilihat bahawa latar yang digunakan menggunakan unsur alam yang hidup. Penggunaan unsur alam yang hidup sebagai latar belakang ini dapat membantu menambahkan kefahaman terhadap isi kandungan sajak itu dan secara tidak langsung meningkatkan penerimaan penonton terhadap video itu. Seterusnya, 'fade in' dan 'fade out' yang digunakan terhadap teks dalam sajak ini juga adalah tepat, sesuai dan dari segi masa peralihan bagi transformasi video ke video yang lain juga tepat dan bersesuaian. Elemen-elemen ini menjadikan e-sajak itu bertambah menarik untuk ditonton kerana semua elemen multimedia ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. 


BUAH DURIAN BUAH SELASIH,
SEKIAN, TERIMA KASIH.πŸ’

Jumaat, 11 Mei 2018

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2018(PBAKL 2018) JALUR PEMUPUKAN MINAT MEMBACA

Hai, assalamualaikum semua. Sihat? Kekal bersemangat? πŸ˜ƒAlhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana terus diberikan nikmat untuk kita bernafas dan bergerak sehingga ke hari ini. 😊

Baiklah, hari ini Cik Kemboja ingin berkongsi serba sedikit berkaitan satu program mega yang telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 April 2018 hingga 6 Mei 2018. Agak-agaknya, program mega apakah yang dimaksudkan ini? 😏






                                               (Sumber : https://www.google.com/)


Ya, betul....sudah semestinya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (PBAKL 2018). Namun, apakah yang menarik tentang PBAKL 2018 ini, sedangkan setiap negeri juga kerap menganjurkan pesta-pesta buku sebegini? Jadi, setelah Cik Kemboja berfikir-fikir, Cik Kemboja rasa Cik Kemboja tahu jawapannya. Untuk pengetahuan semua, PBAKL yang dijalankan pasa setiap tahun ini menawarkan beribu-ribu buah buku di berbagai-bagai booth yang menarik. Para pengunjung boleh mendapatkan buku yang diingini dengan melawati booth-booth yang tersedia di PBAKL ini. Antara booth yang terdapat di PBAKL 2018 ialah Reruai ITBM, booth DBP, booth Karangkraf, booth Popular, booth Telaga Biru, booth Ana Muslim, booth Jemari Seni, booth Kartipillar dan banyak lagi. Melihat kepada booth-booth yang tersedia ini, dapat kita simpulkan bahawa buku-buku yang terdapat di PBAKL 2018 ini merangkumi pelbagai bidang dan melibatkan pelbagai peringkat umur.  

         Seterusnya, dengan melawati booth-booth ini juga, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai genre buku seperti sastera merangkumi cerpen, syair, puisi moden mahupun tradisional, pantun serta buku indie, buku masakan, majalah, novel fiksyen dan sebagainya. Ternyata, pengunjung tidak perlu bersusah payah untuk mencari buku yang diperlukan kerana semuanya sudah berada di satu tempat yang sama. Malah PBAKL juga menjadi medan untuk khalyak pembaca bersua muka dengan para penulis ataupun para editor. Hal ini demikian kerana para penulis akan datang ke PBAKL ini untuk mempromosikan buku-buku yang berjaya dihasilkan serta berjumpa dengan penggemar karya mereka. Begitu juga dengan para editor yang turut sama memeriahkan suasana PBAKL ini. 

     Selain itu, PBAKL 2018 menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung. Sebagai contoh, reruai ITBM akan menjadikan slot Sofa Putih sebagai program harian mereka sepanjang PBAKL berlangsung. Slot Sofa Putih ini merupakan satu program diskusi antara penulis berkaitan isu-isu bahasa dan sastera, manakala Slot Bicara Penulis pula merupakan satu lapangan untuk para penulis mempromosikan karya terbaharu mereka. Malah, promosi secara besar-besaran di PBAKL ini merupakan salah satu faktor utama yang telah berjaya menarik minat khalayak untuk berkunjung ke sini.

         Maka, Cik Bunga dapat simpulkan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang telah menjadi aktiviti tahunan merupakan satu jalur terbaik dalam memupuk minat membaca sedari kecil lagi. Ibu bapa yang cakna seharusnya menyedari hal ini dan akan sentiasa menggalakkan anak-anaknya untuk menjadikan buku sebagai teman setia mereka. Ingat pesanan Cik Bunga, 'banyak membaca, banyaklah pengetahuannya'. Secara tidak langsung, sastera Melayu juga dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan mampu disebarluaskan ke seluruh pelosok dunia.

Sekian dahulu untuk entri kali ini. InsyaAllah, kita bersua lagi di entri yang akan datang. Terima kasih. πŸ˜ƒπŸ’•



            Kenangan bersama-sama Roslan Madun dan editor Zalila Isa di PBAKL 2017                                                                                                                                                                                    
                                                   

      Bersama-sama Penulis Adnie Bahiah dan editor di ITBM En. Zulkifli dan En. Zamani


          



                                                Suasana di PBAKL 2018

Selasa, 1 Mei 2018

CIK SITI WAN KEMBANG INSPIRASI WANITA KINI

                                               
                                                (sumber: https://www.google.com)



CIK SITI WAN KEMBANG

Gah namamu
tercatat mesra
kasih setia terpahat
suami tersayang
membelai resah
seorang wanita bergelar 
Cik Siti Wan Kembang.

Semayammu di tanah bertuah
Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Betapa setiamu
terbalas kecurangan
tiada batas atas dasar
hak sang lelaki
bernama suami
lalu dirimu
amat terharu
kesal sesal
dan dilupakan.

Habis madumu
kautitiskan
bersama setia
kasih yang luka
inikah balasannya!

Lalu jadilah ia
satu lagenda zaman
di sebuah negeri bergelar
Serambi Mekah.

WAN MUHAMAD WAN HARUN,
Gual Periuk, Kelantan
27 Februari 2005

Isnin, 30 April 2018

ULASAN BUKU KESARJANAAN PERADABAN MELAYU

PENGENALAN

Buku Kesarjanaan Peradaban Melayu merupakan hasil Siri Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Indris bagi tahun 2012. Kumpulan esei ini merupakan garapan minda dan dapatan penyelidikan sarjana-sarjana Melayu dalam bidang kepakaran masing-masing. Buku ini juga telah diselenggara oleh Abdullah Hassan, mempunyai 180 halaman bercetak dan terdiri daripada sebelas esei. Kesebelas-sebelas esei ilmiah ini tentang peradaban, sejarah, bahasa, kesusasteraan, sistem sosioekonomi, undang-undang, nilai dan adat, identiti sosial dan dispora Melayu.  Antara sarjana yang telah menyumbangkan idea berkaitan dengan peradaban Melayu ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, Profesor Dr. Adnan Nawang, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Dr. Nasha Rodziadi Khaw, Dr. Nazarudin Zainun, Tarmiji Masron, Zulkifli Jaafar, Prof Dato’ Dr. Yaacob Harun, Prof.Madya Nuwairi Khaza’ai, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof.Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan Prof. Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh. Buku ini pastinya boleh memberikan maklumat yang lengkap, tepat dan padat berkaitan dengan peradaban Melayu.

ULASAN BUKU
Buku Kesarjanaan Peradaban Melayu yang ditulis oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan mempunyai beberapa kekuatan yang tidak boleh disangkal lagi. Antara kelebihan yang dapat dikenal pasti ialah setiap bab disusun dengan teratur mengikut peringkat kesukaran untuk memahaminya. Buku ini dimulakan dengan topik perbincangan yang sederhana dan diikuti dengan topik yang lebih sukar dan kompleks. Walaupun buku ini telah ditulis oleh sarjana-sarjana Melayu mengikut bidang kepakaran masing-masing, namun setiap maklumat yang disampaikan masih mampu difahami. Malah, setiap bab telah ditulis dengan olahan yang sangat mantap. Mereka menjadikan formula isi, huraian dan contoh sebagai panduan dalam penulisan. Huraian dan contoh yang bersesuaian dengan topik menjadikan buku ini lebih menarik untuk dibaca. Tambahan pula, huraian yang ditulis mempunyai kaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Hal ini bermakna, setiap penulisan dalam buku ini menunjukkan perkaitan dan kesatuan yang tinggi.

         Selain itu, keunikan buku Kesarjanaan Peradaban Melayu ialah para pembaca boleh membaca cetusan idea dan kupasan maklumat yang ditulis oleh para sarjana Melayu dengan hanya membaca sebuah buku sahaja. Setiap isu yang berkaitan dengan peradaban Melayu telah dihuraikan dengan sangat bagus oleh para sarjana dan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan yang berkualiti. Seterusnya, kelebihan buku ini juga boleh dilihat dari aspek bahasa. Hal ini demikian kerana penulis memilih untuk menggunakan bahasa yang sederhana namun mampu memikat hati pembaca untuk membacanya. Bahasa yang digunakan adalah dalam bentuk tersurat dan terus merujuk kepada topik yang dibincangkan. Dari aspek luaran pula, iaitu melibatkan pemilihan songket sebagai kulit buku amat wajar kerana elemen yang ada pada songket itu sendiri menunjukkan nilai peradaban Melayu. Buku ini juga mempunyai beberapa gambar berkaitan dengan gaya berbusana masyarakat Melayu. Hal ini boleh membantu para pembaca untuk lebih memahami perkara yang dibincangkan.

RUJUKAN
Abdullah Hassan. (2012). Kesarjanaan peradaban Melayu. Kuala Lumpur : Universiti 
              Malaya. 1-180.
                          



KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...