Isnin, 30 April 2018

ULASAN BUKU KESARJANAAN PERADABAN MELAYU

PENGENALAN

Buku Kesarjanaan Peradaban Melayu merupakan hasil Siri Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Indris bagi tahun 2012. Kumpulan esei ini merupakan garapan minda dan dapatan penyelidikan sarjana-sarjana Melayu dalam bidang kepakaran masing-masing. Buku ini juga telah diselenggara oleh Abdullah Hassan, mempunyai 180 halaman bercetak dan terdiri daripada sebelas esei. Kesebelas-sebelas esei ilmiah ini tentang peradaban, sejarah, bahasa, kesusasteraan, sistem sosioekonomi, undang-undang, nilai dan adat, identiti sosial dan dispora Melayu.  Antara sarjana yang telah menyumbangkan idea berkaitan dengan peradaban Melayu ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, Profesor Dr. Adnan Nawang, Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, Dr. Nasha Rodziadi Khaw, Dr. Nazarudin Zainun, Tarmiji Masron, Zulkifli Jaafar, Prof Dato’ Dr. Yaacob Harun, Prof.Madya Nuwairi Khaza’ai, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof.Emeritus Dr. Abdullah Hassan dan Prof. Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh. Buku ini pastinya boleh memberikan maklumat yang lengkap, tepat dan padat berkaitan dengan peradaban Melayu.

ULASAN BUKU
Buku Kesarjanaan Peradaban Melayu yang ditulis oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan mempunyai beberapa kekuatan yang tidak boleh disangkal lagi. Antara kelebihan yang dapat dikenal pasti ialah setiap bab disusun dengan teratur mengikut peringkat kesukaran untuk memahaminya. Buku ini dimulakan dengan topik perbincangan yang sederhana dan diikuti dengan topik yang lebih sukar dan kompleks. Walaupun buku ini telah ditulis oleh sarjana-sarjana Melayu mengikut bidang kepakaran masing-masing, namun setiap maklumat yang disampaikan masih mampu difahami. Malah, setiap bab telah ditulis dengan olahan yang sangat mantap. Mereka menjadikan formula isi, huraian dan contoh sebagai panduan dalam penulisan. Huraian dan contoh yang bersesuaian dengan topik menjadikan buku ini lebih menarik untuk dibaca. Tambahan pula, huraian yang ditulis mempunyai kaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Hal ini bermakna, setiap penulisan dalam buku ini menunjukkan perkaitan dan kesatuan yang tinggi.

         Selain itu, keunikan buku Kesarjanaan Peradaban Melayu ialah para pembaca boleh membaca cetusan idea dan kupasan maklumat yang ditulis oleh para sarjana Melayu dengan hanya membaca sebuah buku sahaja. Setiap isu yang berkaitan dengan peradaban Melayu telah dihuraikan dengan sangat bagus oleh para sarjana dan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan yang berkualiti. Seterusnya, kelebihan buku ini juga boleh dilihat dari aspek bahasa. Hal ini demikian kerana penulis memilih untuk menggunakan bahasa yang sederhana namun mampu memikat hati pembaca untuk membacanya. Bahasa yang digunakan adalah dalam bentuk tersurat dan terus merujuk kepada topik yang dibincangkan. Dari aspek luaran pula, iaitu melibatkan pemilihan songket sebagai kulit buku amat wajar kerana elemen yang ada pada songket itu sendiri menunjukkan nilai peradaban Melayu. Buku ini juga mempunyai beberapa gambar berkaitan dengan gaya berbusana masyarakat Melayu. Hal ini boleh membantu para pembaca untuk lebih memahami perkara yang dibincangkan.

RUJUKAN
Abdullah Hassan. (2012). Kesarjanaan peradaban Melayu. Kuala Lumpur : Universiti 
              Malaya. 1-180.
                          



SEMBANG SANTAI NOMIK MOTIVASI: IMPIAN HARLINA



Assalamualaikum semua...😊

Hari ini Cik Kemboja nak kongsikan sedikit pengalaman Cik Kemboja membaca novel komik (nomik) motivasi ni. Dah lama dah sebenarnya komik ni berada di pasaran. Cik Kemboja pun dah ingat-ingat lupa bila Cik Kemboja membeli nomik ini tetapi yang pastinya pada masa tu, Cik Kemboja muda lagi. Okay, sebelum Cik Kemboja bercerita lebih lanjut tentang nomik ini, apa kata Cik Kemboja berikan dahulu sinopsis nomik ini.



Sinopsis Impian Harlina


Nomik ini ialah adaptasi daripada sebuah kisah benar yang menceritakan perjalanan hidup seorang anak yatim bernama Harlina yang menumpang kasih pada keluarga angkatnya setelah kematian bapanya. Kehidupan ibunya yang miskin telah memaksanya untuk berpindah-randah dari satu keluarga angkat kepada keluarga angkat yang lain. Pada awalnya, Harlina tidak ambil peduli dengan pelajarannya yang semakin merosot tetapi lama-kelamaan timbul kesedaran dalam dirinya bahawa beliau perlu melakukan perubahan bagi mengubah kehidupannya keluargannya di kampung. Sejak dari itu, beliau menyimpan impian untuk ke menara gading walaupun tiada siapa yakin bahawa beliau mampun mengecapi impiannya itu. Akhirnya, beliau berjaya membuktikan  sekeliling bahawa beliau  mampu bergelar seorang doktor yang dapat memberi khidmat pada masyarakat meskipun hidup dalam serba kekurangan.



Dah baca sinopsis? Sekarang Cik Kemboja kongsikan apa yang menarik mengenai nomik ini

1. Plot cerita

Bagi Cik Kemboja, jalan ceritanya sangat menarik dan tidak cliche seperti novel cinta di pasaran sekarang. Dalam nomik ini, perjalanan hidup Harlina diceritakan satu-persatu bermula dengan kehidupannya ketika menetap di bandar, menjadi yatim sehingga beliau berjaya bergelar seorang Doktor. Plot cerita ini mampu memberikan Cik Kemboja seribu rasa yang berwarna-warni. Ada sedih, gembira, teruja, simpati, marah dan lain-lain. Sebagai contoh, gambaran perasaan teruja Harlina sebagai pelajar perubatan dalam peristiwa sewaktu beliau memasuki bilik mayat buat kali pertama telah membawa diri Cik Kemboja untuk turut merasai pengalaman teruja bercampur takut apabila berhadapan dengan mayat.

2. Elemen budaya

Bagi Cik Kemboja, penulis berjaya menerapkan elemen budaya yang membuatkan Cik Kemboja tersenyum apabila membacanya. Dengan menggunakan sekitar tahun  80-an sebagai latar masa dan Hulu Kelantan sebagai latar tempat pada permulaan ceritanya, penulis menceritakan kehidupan masyarakat kampung yang tidak terdedah kepada pembangunan bandar. Dalam hal ini, budaya kampung seperti bermandi-manda di sungai, saling bantu-membantu dan permuafakatan antara masyarakat kampung dapat memberikan nilai dan pengajaran kepada para remaja kini yang terdedah dengan pelbagai teknologi. Sebagai contoh, berdasarkan novel, penulis menceritakan situasi apabila salah seorang teman Harlina, iaitu Zaitun lemas dihanyutkan arus deras, penduduk kampung dilihat begitu cakna antara satu sama lain dan saling berganding-bahu membantu pihak polis dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa. Elemen budaya seperti kepercayaan pada ilmu mantera juga dapat dilihat dalam nomik seperti dalam situasi ketika Harlina membaca mantera bertujuan mengelak diri daripada bertemu binatang buas. Manteranya berbunyi seperti ini: "Pok Tik, Mok Tik, Callili namomu." Kedengaran comel sahaja mantera ini... 😄

3. Elemen agama


Daripada penelitian cik Kemboja terhadap nomik ini, penulis sentiasa menerapkan elemen agama secara tidak langsung semasa berkarya. Misalnya, melalui watak atuk Harlina, penulis menyampaikan ilmu tentang cara untuk khusyuk dalam solat. Selain itu, penulis juga menyelitkan ilmu halal dan haram. Sebagai contoh, semasa Harlina bersekolah di sekolah Cina, Harlina selalu diingatkan oleh rakan-rakannya agar berhati-hati semasa membeli makanan kerana dikhuatiri mengandungi daging khinzir yang haram dimakan oleh orang Islam. Penulis juga menerapkan prinsip keislaman, iaitu kebergantungan yang tinggi kepada Allah. Dalam hal ini, penulis memperlihatkan konsep bunuh diri bukanlah cara untuk melepaskan diri daripada masalah yang dihadapi. Melalui watak Harlina, walaupun beliau berada dalam kesusahan, namun beliau sentiasa berpegang pada pesanan ustaznya sewaktu kecil bahawa bunuh diri merupakan perbuatan yang dilaknat Allah dan tidak diterima oleh bumi.


4. Elemen motivasi


Ya, dah namanya nomik motivasi, mestilah akan hadir elemen motivasi yang mampu menyuntik semangat pembaca. 💪💪💪 Pelbagai elemen motivasi diterapkan dalam nomik ini seperti sikap tidak mudah putus asa, sentiasa berusaha ke arah kemajuan diri dan kebaikan, sikap menghormati guru dan tidak memandang rendah akan kemampuan orang lain. Jujur Cik Kemboja katakan, Cik Kemboja begitu terkesan dengan semangat yang ditonjolkan oleh watak Harlina. Walaupun beliau bukanlah pelajar yang pandai dan sering menduduki tempat tercorot dalam tingkatan, namun  disebabkan semangat untuk mengubah nasib diri dan keluarga, beliau mampu memasuki kelas aliran sains dan mengambil jurusan perubatan sehingga bergelar seorang doktor. Sebagai contoh, pada setiap hari, setelah tamat sesi persekolahan, beliau tidak tergopoh-gapah untuk menikmati hidangan tengah hari, sebaliknya menyiapkan dahulu segala latihan dan tugasan yang diberikan guru kepadanya. Pada pengamatan Cik Kemboja, sikap inilah yang perlu dicontohi oleh para pelajar.

Betul atau tidak? 😉 Walau bagaimanapun, pelajar tidak perlulah mengabaikan jadual pemakanan kerana makanan yang sihat akan memberikan pelajar tenaga untuk meneruskan aktiviti pembelajaran.


Kesimpulannya, nomik Impian Harlina bukan sahaja memberikan suntikan semangat kepada individu untuk terus berjuang menggapai impian dan cita-cita, malah pada masa yang sama, pembaca juga mendapat input bermanfaat melalui perkongsiaan tentang ilmu agama dan juga menekatkan para pembaca dengan pengajaran nilai budaya yang semakin dipinggirkan oleh masyarakat kini.


Baiklah. Setakat ini dahulu perkongsian Cik Kemboja mengenai nomik Impian Harlina. Semoga bertemu kembali. Sebelum itu, Cik Kemboja nukilkan sebuah pantun:


              Kalau ada sumur di ladang,

                   Izinkan saya menumpang mandi;
              Kalau ada umur yang panjang,
                   Bertemu kita di lain entri. 💗



Jumaat, 27 April 2018

MENCIPLAK? SASTERA SIBERKAH PUNCANYA?

Karya yang dihasilkan oleh para penulis bagaikan satu mata pena tajam yang mampu mengubah dunia. Penulis merakam peristiwa, lalu meluahkannya dalam bait-bait kata yang dapat menjentik hati dan sanubari. Isu alam, kemanusiaan, kekeluargaan, pasang surut ekonomi, malah politik dunia boleh diperbahaskan melalui karya-karya mereka. Ada yang menterjemahkannya dalam bentuk puisi moden, pantun, syair malah seloka juga telah menjadi medan dalam meluahkan isi hati tersurat. Kemudian, sastera itu semakin berkembang dari hari ke hari, apabila wujudnya pula e-sastera atau sastera siber, semuanya boleh dicapai dengan hanya berbantukan capaian internet. Walau berada di Utara dunia, mahupun Selatan Tanah Malaysia penulis tetap dapat mencerna buah fikiran di mana-mana sahaja. 

Namun, P. Ramlee sendiri sudah berpesan kepada kita 'Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Ternyata, sastera siber ini memberikan satu fenomena yang baharu kepada dunia sastera. Menciplak? Timbul pula perkataan ini, apabila terdapat segelintir penulis yang kurang bertanggungjawab 'menciplak' karya penulis lain. Hal ini demikian kerana sekarang, karya-karya itu sangat mudah untuk diperoleh seperti di Facebook ataupun blog penulis yang sentiasa mengemaskini karya mereka di ruangan status. Ternyata, dalam diam, ramai yang mengambil kesempatan ini dengan hanya klik 'copy' dan 'paste'. Kemudian, nama penulis yang asal telah digantikan dengan nama mereka tanpa mengubah sedikitpun perkataan dalam karya itu. Ya! Itulah yang dinamakan 'menciplak'.







Petikan artikel daripada Majalah Tunas Cipta


Berbalik kepada isu 'ciplak', adakah sastera siber yang perlu dipersalahkan? Sejauh mana sastera siber itu boleh dimanfaatkan bagi tujuan menyebarluaskan sastera? Adakah penulis itu sendiri perlu membataskan hak mereka untuk berkarya? Oleh itu, tepuk dada, tanyalah minda bestari anda.

Sekian, terima kasih. 😉💖
   

APAKAH YANG ADA DI DALAM DIRI SETIAP INSAN MENURUT PANDANGAN PENYAIR M. ARIF?




SAMUDERA DI DALAM DIRI

Ketika singgah di wakaf insaf

di pinggir dermaga waktu
kita lepaskan lelah sambil merenung
dengan mata hakikat
menatap samudera di dalam diri
garam kehidupan masinnya lekat
di lidah hayat.

Dari teluk walang

ombak tenang datang berkejaran
menjelma berupa gelombang 
awan berarak dan angin melenggang
bersatu menjadi taufan;
indah persisir landai mudah berubah
berkecai dirempuh badai.

Ketika mengamati samudera ini

berusrahlah dengan kalbu dan akal
tentang keajaiban warna
tentang kemanisannya
menafi sifat air mencari makna zat
di dalam pustaka makrifat.

Kenali samudera di dalam diri
semoga khilaf tak melukut
di tubuh luhur.

Mingguan Malaysia, 

15 Ogos 2010.




MERAWAT PERAHU SUKMA

Perahu sukma mudik dari hulu
akhirnya menghilir jauh
mengidam mengecap masin lautan.

Jeram kelahiran telah lama ditinggalkan
kejernihan, keladak, buih dan oleng
adalah rakaman sepanjang perjalanan
menjadi koleksi abadi perahu sukma
di balik lumut dan lumpur
tersimpan album kenangan kian menebal.

Semestinya setelah lama di air
ada rekah lara pada perahu sukma
pecah teradak hadang dan tebing.

Singgahlah perahu sukma
sebaik tiba di pangkalan muhasabah
merawat setiap rekah lara
getir dari sepanjang lurah hijrah
sambil menimba gerah yang melimpah. 

Lautan idaman masih jauh di hadapan
ruangnya bakal diisi sejuta cabaran
moga tak karam di pertengahan jalan.

Perahu sukma, 
bila tiba di lautan idaman
sedia berdepan hempasan gelombang
dan deras taufan. 

Mingguan Malaysia,
24 Julai 2011.



Isnin, 16 April 2018

AKTIVITI PENULISAN SYAMNURIEZMIL DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK

AKTIVITI PENULISAN SYAMNURIEZMIL DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK
(SYAIDATUL AMIRA BINTI MOHAMAD RAFI)
(JQB170007)

Pendahuluan


Sastera merupakan suatu bentuk ciptaan seni yang indah, disampaikan melalui bahasa dan bertujuan untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Menurut Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa (2013), sastera ialah wadah penyampaian yang memiliki nilai estetika yang tinggi kepada khalayak. Medium penyampaian sastera juga bersifat dinamik. Selari dengan faktor perkembangan teknologi, penyampaian sastera berubah mengikut zaman, iaitu dari tradisi lisan kepada bentuk tulisan, seterusnya disampaikan dalam bentuk media baharu seiring dengan kecanggihan teknologi. 

     Pada hari ini, kebanyakan penulis karya sastera sama ada novel, cerpen, puisi atau syair menggunakan platform media sosial untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti sastera. Perkara ini dilihat sebagai suatu yang positif kerana penulis tidak lagi bergantung kepada penulisan bercetak sahaja. Dalam hal ini, tiada had masa yang diperlukan oleh khalayak untuk membaca hasil nukilan penulis tertentu kerana penulisannya dapat diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja dan begitu juga sebaliknya. Selaras dengan pandangan Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa (2013) iaitu, melalui media baharu, sesiapa sahaja boleh mengakses hasil sastera dan menikmatinya atau berkarya dalamnya. Platform seperti facebook, misalnya berfungsi untuk mengemas kini status, memaparkan mesej atau gambar serta berkongsi video. Dalam konteks ini, pengaruh facebook dapat membantu penulis untuk menghubungkan karya dan aktiviti penulis dengan peminat. Secara tidak langsung, peranan dan fungsi facebook mampu memperkembangkan sastera Melayu di laman sesawang. (Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa, 2013). Oleh itu, penulisan ini membincangkan aktiviti penulis di laman sosial facebook, iaitu dengan hanya berfokus kepada laman penulis novel melayu semasa, iaitu Syamnuriezmil. 


Gambar 1: Penulis Syamnuriezmil


     Syamnuriezmil merupakan nama pena yang digunakan oleh Nur Azyyati Abu Bakar dalam karyanya. Sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan lebih 10 tahun, beliau telah menghasilkan pelbagai karya seperti novel, antologi cerpen dan novelet (novel pendek). Sebanyak 14 buah novel, 11 antologi cerpen dan sembilan buah novelet telah dihasilkannya sejak beliau bergelar penulis (Harian Metro, 5 Mei 2017). Bagi beliau, bidang penulisan merupakan jiwanya sejak dari kecil kerana beliau telah dididik oleh ayahnya untuk sentiasa menulis. Menurut beliau, minatnya dalam bidang penulisan berkemungkinan diwarisi daripada sasterawan negara, iaitu Datuk Dr Zurinah Hassan dan Azizi Haji Abdullah yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya. 

    Hasil kebijaksanaan penulisannya, karyanya sering menduduki kategori novel paling laris dan pernah beberapa kali diadaptasi ke filem dan drama bersiri seperti Suamiku Mr. Perfect 10!, Terlanjur Mencintaimu, Mr.Grey, Suami Tanpa Cinta, Tuan Anas Mikael dan banyak lagi. Menariknya, beliau memulakan kerjayanya sebagai penulis dengan memuat naik karya pertama di sebuah laman web penerbitan iaitu www.penulisan2U.com. Seterusnya, beliau menggunakan platform media baharu iaitu blog sebagai batu loncatan untuknya dikenali sebagai penulis novel. Pada masa ini, beliau menggunakan facebook sebagai platform terkini dan semasa untuk beliau mempromosikan karya penulisannya serta beinteraksi dengan para peminat. Seramai 20,000 orang telah mengikuti laman facebooknya yang sehingga kini menerima kira-kira 20,860 likes daripada para peminatnya.




      Gambar 2: Jumlah pengikut dan likes di page facebook Syamnuriezmil

Perbincangan 



Berdasarkan pemerhatian terhadap karya-karya yang dimuat naik di laman sosial facebooknya, Syamnuriezmil dilihat lebih bertumpu kepada genre yang bersifat komedi romantik. Hal ini disebabkan genre tersebut dikatakan lebih digemari oleh masyarakat. Menurut beliau, kebanyakan novelnya berkonsepkan komedi romantik kerana menepati cita rasa serta dekat dengan kehidupan masyarakat (Harian Metro, 15 Mei 2017). Selain itu, bahasa yang digunakan oleh penulis dalam setiap hantaran di laman pagenya bersifat tidak formal dan santai. Kadang-kala, beliau turut menggunakan bahasa rojak dalam memuat naik statusnya. Walau bagaimanapun, hal ini dilihat bertepatan dengan fungsi media sosial itu sendiri yang digunakan bersembang serta bertukar pendapat dan berhubung dengan kenalan (Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa, 2013). 

    Melalui laman sosial facebooknya, Syamnuriezmil yang dilihat lebih selesa menggunakan panggilan ‘acik’ untuk dirinya sentiasa memuat naik hantaran berkaitan karya terbaru ciptaannya. Pada kebiasaannya, beliau memuat naik sinopsis atau blurb bagi novel-novelnya. Dalam hal ini, beliau sentiasa mengemas kini status setiap novel yang bakal diterbitkan. Beliau juga sentiasa menarik perhatian pembaca dengan mendedahkan sebahagian kecil peristiwa yang terdapat dalam karya ciptaannya. Hal ini dilihat mampu menimbulkan rasa keterujaan bagi para peminat yang sentiasa menanti hasil tulisannya. Menariknya lagi, kebanyakan peristiwa dalam novel yang dimuat naik diceritakan menerusi dialog antara watak. Dalam konteks ini, penulis cuba menarik minat pembacanya melalui perkembangan watak secara beransur-ansur bagi membolehkan karya sasteranya didekati. Hantaran beliau di laman facebooknya juga tidak terhad kepada teks sahaja, malah beliau juga turut menggunakan elemen media yang lain seperti imej gambar, video pendek dan teaser mengenai karya yang bakal diterbitkan. Penerapan elemen multimedia mampu menjadikan laman sosial bersifat lebih interaktif dan menarik. Sebagai seorang penulis yang mana karyanya sentiasa dipilih untuk diadaptasi sebagai drama atau filem, beliau juga turut memuat naik teaser drama adaptasi daripada novelnya. Hal ini akan menimbulkan keterujaan kepada para peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan novelnya. Secara tidak langsung, perkara ini dapat membantu memperkembangkan karya sastera di laman sosial. 

      Selain memuatkan karya-karya ciptaannya, beliau juga turut berkongsi aktiviti-aktiviti sasteranya seperti pelancaran buku baharu dan sesi bertemu pemunat serta penyertaaannya dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan pada setiap tahun bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra. Di samping itu, beliau juga turut berkongsi maklumat dan tips dalam menghasilkan novel yang baik. Sebagai contoh, dalam satu hantarannya di facebook,beliau berkongsi salah cara bagi mendapat tajuk yang baik bagi novel. Berikut merupakan status miliknya:



Gambar 3: Status Syamnuriezmil berkaitan pemilihan tajuk novel

Walaupun status ini lebih berbentuk gurauan kepada para pengikutnya, tetapi pada pendapatnya, sesuatu novel yang baik memerlukan tajuk yang dapat menarik perhatian pembaca. Menurutnya, tuntutan dalam strategi pemasaran novel mementingkan tajuk yang bersifat “catchy” untuk menarik minat pembeli (Harian Metro, 2017). Oleh sebab itu, beliau sentiasa menyarankan pembeli agar membaca isi kandungan dan jalan cerita terlebih dahulu sebelum mengkritik tentang tajuk. Hal ini demikian kerana tajuk sahaja tidak dapat menggambarkan keseluruhan jalan cerita yang disampaikan penulis dalam novel.

       Di samping itu, laman facebooknya ini juga turut digunakan oleh beliau untuk berkongsi tentang diari kehidupannya sebagai penulis dan juga kehidupan peribadi. Walaupun begitu, dapat dilihat bahawa perkongsian beliau di laman ini lebih terarah kepada perkongsian mengenai karya penulisannya berbanding kisah-kisah peribadi. Hal ini juga dilakukan kerana dianggap lebih mesra antara beliau dan peminat. Interaksi yang positif ini secara tidak langsung akan menarik minat khalayak untuk mencintai karya sastera. Melalui perkongsiannya juga, dapat dilihat bahawa pemikiran beliau dalam menghasilkan novel kepada menerapkan unsur kasih-sayang dalam keluarga dan masyarakat. Walaupun beliau terkenal sebagai penulis bergenre romantik., namun karyanya tidak hanya berfokus kepada unsur percintaan, sebaliknya mampu mengajar masyarakat tentang nilai kekeluargaan serta kemasyarakatan. Sebagai contoh, perkongsian mengenai novelnya iaitu Perempuan Lebih Bahagia, lebih menekankan kepada unsur agama yang mendedahkan masyarakat tentang hukum anak tidak sah taraf dari sudut Islam. Hal ini memperlihatkan bahawa penulisan Syamnuriezmil bukanlah hanya berfokus kepada percintaan sahaja, namun terdapat mesej yang disampaikan kepada masyarakat melalui novel-novelnya.

Kesimpulan


Karya sastera merupakan wadah ilmu yang digunakan bagi mendidik khalayak. Walau bagaimanapun, karya ini tidak hanya terhad kepada penulisan secara bercetak sahaja, malah boleh juga disampaikan melalui perantara media sosial. Dalam konteks ini, usaha penulis sastera diperlukan dalam mengembangkan karya sastera dalam media sosial agar karya sastera dapat dimartabatkan seiring dengan perkembangan dunia teknologi. Hal ini penting bagi memastikan karya sastera terus diminati oleh khalayak dan sentiasa berada dalam hati masyarakat seperti kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Melalui penggunaan media sosial sebagai platform baharu untuk memperkenalkan sastera kepada umum, maka wajarlaha sekiranya para penggiat sastera memanfaatkan medium ini bagi membolehkan karya sastera terus meniti di bibir khalayak.

Rujukan 


Harian Metro. (2017, Mei 5). Banyak adaptasi ke drama, filem. Dicapai pada 4 April 2018 daripada  
        www.hmetro.my. 

Wan Abu Bakar Wan Abas dan Madiawati Mustaffa (2013). Sastera Melayu dalam media sosial.  

        Wacana Kesusasteraan Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Kelantan, 6 Oktober 2013. 
        
Https://www.facebook.com/syamnuriezmil.author/

AKTIVITI PENULISAN DI MEDIA SOSIAL AHMAD SARJU

AKTIVITI PENULISAN DI MEDIA SOSIAL (AHMAD SARJU)
(NOR HAFUZA BINTI MUHAMMAD ARIF)
(JQB170005)







Karya sastera merupakan satu karya yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan hal ini berbeza dengan karya-karya picisan yang lain. Karya sastera berada di satu tahap yang tersendiri dan terus berkembang dari satu era ke era yang lain. Sastera di Malaysia telah bermula daripada zaman sebelum merdeka sehinggalah kini. Namun, penyebaran sastera dari satu negeri ke negeri yang lain atau daripada satu negara ke negara pada zaman dahulu hanya melalui lisan dan tulisan sahaja, iaitu melalui penghasilan manuskrip. Selari dengan kemajuan teknologi dunia, sastera juga dilihat memanfaatkan medium internet dengan sebaik mungkin dengan perantaraan pelbagai media sosial seperti facebook, instagram mahupun twitter. Justeru, perbincangan ini akan memfokuskan aktiviti seorang penulisan prolifik di Malaysia, iaitu Ahmad Sarju melalui laman facebook beliau.



Ahmad Sarju atau nama sebenarnya ialah Ahmad bin Sarjoo merupakan seorang penulis kelahiran Kampung Bukit Naga, Klang Selangor. Ahmad Sarju merupakan seorang penulis veteran yang masih menulis karya-karya kreatif sehingga ke hari ini, termasuklah karya puisi moden, pantun dan syair. Mata penanya ternyata tidak pernah tumpul daripada dahulu sehinggalah sekarang dan garapan buah fikiran dan daya kreativiti dalam penulisannya masih boleh diterima oleh setiap generasi, termasuklah generasi muda. Beliau yang juga seorang bekas pendidik di Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang menjadikan profesion perguruan ini sebagai satu lapangan untuk merakam peristiwa dan menjadi lebih peka dengan persekitaran sekeliling. Sebagai seorang penyair yang konsisten sejak tahun 1960-an lagi, kecenderungan beliau dalam bidang penulisan boleh dilihat dari segi penulisan skrip drama bersiri televisyen yang bertajuk Siti Zulaikha, Sayang di Sayang dan Opah. Walau bagaimanapun, pada hari ini, boleh dikatakan bahawa kecenderungan penulisan Ahmad Sarju menjurus kepada penulisan puisi, pantun dan syair. Aktiviti terkini beliau dalam usia 76 tahun boleh dilihat melalui laman facebook beliau yang sangat aktif dan dikemas kini pada setiap hari. Ternyata, faktor umur bukanlah penghalang kepada beliau untuk terus berkarya dan membangunkan generasi muda dengan sastera selagi beliau berupaya.


          Ahmad Sarju menjadikan laman facebook sebagai medium untuk berkarya kerana beliau menyedari bahawa media sosial termasuklah facebook merupakan medium yang paling relevan dan signifikan untuk digunakan pada hari ini. Beliau boleh berhubung dengan lebih mudah apabila ingin berinteraksi dengan rakan-rakan penulis atau peminat karya sastera beliau. Malahan, dengan penggunaan facebook sebaik medium untuk berkongsi karya kreatifnya, Ahmad Sarju juga dapat mendekati penulis-penulis baharu atau pembaca-pembaca yang baharu sahaja mengenali bidang sastera. Hal ini demikian kerana khalayak bukan sahaja boleh menikmati karya-karya kreatif seperti pantun dan syar di laman facebook beliau, tetapi dalam masa yang sama Ahmad Sarju juga aktif mengikuti perkembangan sahabat-sahabat penulisnya di facebook. Secara peribadinya, Ahmad Sarju merupakan seorang penulis yang sangat mudah didekati dan tidak lokek berkongsi ilmu pengetahuan. Maka, dapat dilihat bahawa facebook  dijadikan wadah untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan terus mencari gali untuk meningkatkan kemahiran menulis karya kreatif.


Perbincangan ini akan diteruskan lagi dengan memaparkan aktiviti-aktiviti seorang penulis veteran yang prolifik, iaitu Ahmad Sarju. Apabila meneliti ruangan facebook Ahmad Sarju, boleh dikatakan setiap hari beliau akan mengemas kini status dengan memuatkan pantun atau syair. Ahmad Sarju mengemas kini statusnya itu secara berkala mengikut kepada situasi atau isu-isu semasa sekarang. Sebagai contoh, pada tarikh 3 April 2018, beliau telah memuatkan syair bertajuk Menjelang PRU 14(8). Bilangan pantun atau syair yang dimuatkan untuk satu-satu topik itu boleh diketahui dengan melihat bilangan di akhir tajuk seperti berikut:






Berdasarkan contoh-contoh di atas, dapat dilihat bahawa keaktifan Ahmad Sarju di laman facebook beliau. Kaedah yang digunakan oleh Ahmad Sarju ini sememangnya boleh menjadi contoh kepada para penulis karya kreatif yang lain kerana susunan sebegini menjadikan para pengikut serta peminat karya-karya beliau mudah memahami dan tidak akan terlepas setiap karya-karya baharu mereka. Jika diteliti daripada sudut pemikiran dan peribadi Ahmad Sarju yang boleh diinterpretasikan daripada karya-karya yang beliau hasilkan, Ahmad Sarju merupakan seorang yang sangat tinggi sifat patriotismenya. Hal ini demikian kerana beliau sering menghasilkan pantun atau syair ang mengingatkan anak bangsanya supaya tidak terlalu sombong dan bermegah dengan apa yang dimiliki pada hari ini dan ini boleh dilihat dalam pantun beliau bertajuk Menang Sorak Kampong Tergadai. Ahmad Sarju juga sangat menitikberatkan soal bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda melalui pantun dan syair-syair beliau. Bagi beliau, hanya dengan bahasalah perpaduan negara dapat terus berdiri utuh dan teguh. Seterusnya, antara nasihat yang diberikan oleh beliau melalui syair dan pantun yang dihasilkan ialah mengingatkan generasi muda agar tidak mengabaikan peribahasa-peribahasa Melayu yang bukan sahaja sebagai satu bentuk estetika bahasa, tetapi juga mempunyai tujuan menasihati secara implisit, menjauhkan diri daripada sikap buruk siku dan dendam serta mengutamakan sikap jujur dalam setiap perilaku harian. Malah, antara perkara yang dikagumi tentang peribadi Ahmad Sarju sebagai penulis prolifik ialah beliau juga gemar mendedikasikan pantun atau syair yang khusus kepada rakan-rakan penyair seperjuangan atau menghadiahkannya sempena hari-hari peringatan yang tertentu. Contohnya, beliau mencoretkan sebuah syair khusus kepada warga PDRM sempena Hari Polis Diraja Malaysia.





Secara tidak langsung, pembaca atau pengikut laman facebooknya akan turut sama mengingati tarikh-tarikh penting yang berlaku di Malaysia. Di samping itu, Ahmad Sarju juga gemar berkongsi aktiviti-aktiviti sastera yang beliau terlibat sepanjang bergelar penyair. Beliau merupakan salah seorang ahli KEMUDI, iaitu persatuan penulis di Selangor. Beliau juga berkecimpung secara aktif dalam bacaan puisi di seluruh negara termasuklah Majlis Baca Puisi Kota Baharu 2016, Majlis Baca Puisi Damia 2 yang dianjurkan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan dan sering memeriahkan Malam Baca Puisi PENA yang dianjurkan setiap hari Jumaat minggu pertama di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Kegigihan dan semangat yang ada pada Ahmad Sarju inilah yang membuatkan beliau sentiasa relevan dan diterima dalam dunia sastera ini. Beliau juga sering memuatkan gambar beliau terlibat sebagai juri pantun sama ada di peringkat sekolah ataupun universiti. Malah, baru-baru ini beliau baharu sahaja menerima anugerah untuk Sayembara Menulis Puisi berunsurkan Islam Asian 2018. Salah satu perkara yang juga boleh dicontohi ialah beliau akan memaklumkan kepada para pengikutnya di facebook terlebih dahulu jika beliau tidak dapat berkongsi karya beliau untuk beberapa hari. Di bawah merupakan contohnya:  





Kesimpulannya, aktiviti sastera yang dilihat dalam facebook Ahmad Sarju ini berjaya memaparkan aktiviti-aktiviti beliau, sudut pemikiran beliau yang terpamer daripada karya-karya beliau serta mencerminkan perjuangan dan minat beliau yang tinggi terhadap bidang sastera. Pemanfaatan media sosial ini menunjukkan bahawa sastera itu juga dapat disebarluaskan dengan menggunakan capaian internet, malah boleh menjangkau ke seluruh dunia. Oleh itu, sebagai pengguna media sosial, kita seharusnya menjadi pengguna yang bijak bagi mengelakkan pertelingkahan yang boleh memutuskan hubungan silaturahim. 



                               Kenangan bersama-sama Ahmad Sarju di kediaman beliau



AKTIVITI PENULIS DATUK A. SAMAD SAID DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK

AKTIVITI PENULIS DATUK A. SAMAD SAID DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK
(NUR DIYANA BINTI ZAMANI)
(JQB170015)





Penulisan dan karya sastera tidak dapat dipisahkan. Karya sastera tidak akan hidup dan wujud tanpa adanya penulisan. Penulisan karya sastera pula akan hambar tanpa sentuhan seni yang efisien dan memiliki kemutuanya penulisan yang jitu. Dalam medium penulisan, terdapat banyak karya sastera yang hadir dengan sentuhan dari penulis-penulis yang memiliki kehebatan mereka dalam bahasa dan berupaya menghasilkan sesebuah karya yang bermutu dan baik. Oleh hal yang demikian, sesebuah karya sastera boleh dianggap seakan-akan kaku tanpa adanya suntikan seni dari penulis-penulis yang hebat. Kesenian dan kehalusan bahasa dalam menghasilkan sesebuah karya penulisan juga amat penting, kerana melalui bahasa yang digunakan dapat mempengaruhi fikiran dan minat pembaca. Penulisan karya sastera umpama ‘tablet’ yang akan memberikan kepuasan kepada pembaca.

     Di era zaman yang semakin moden dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat terutamanya penggunaan medium perantara internet seperti blog, laman web dan juga media sosial dapat membuka peluang yang luas kepada penulis-penulis sastera dalam menghasilkan penulisan karya sastera mereka. Di samping itu, dapat memberikan manfaat kepada pembaca dan juga mempengaruhi lebih ramai golongan masyarakat tidak kira tua atau muda untuk turut menghasilkan dan menyumbang penulisan karya-karya sastera yang lebih banyak. Justeru itu, satu perbincangan yang menfokuskan kepada penulis karya sastera yang aktif dalam menghasilkan penulisan karya sasteranya dan menjadikan media sosial Facebook sebagai medium untuk penulis berkogsikan hasil penulisan karya sasteranya. Penulis yang dipilih ini merupakan seorang tokoh sasterwan Negara iaitu A. Samad Said.

       A.Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said merupakan seorang sasterawan tanah air yang banyak terlibat dalam bidang penulisan kreatif. Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunanya membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A.Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil. Beliau berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja, tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas. Sepanjang kariernya dalam penulisan, beliau telah mendapat banyak pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia. Antara anugerah yang diterima ialah Anugerah Pejuang Satera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999). Selain itu, A.Samad Said memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki oleh semua penulis. Beliau dapat menguasai semua genre sastera. Sehingga kini walaupun usia beliau telah mencecah 83 tahun, A.Samad Said tidak jemu dalam menghasilkan puluhan karya dalam pelbagai genre seperti novel, puisi, drama, cerpen, dan esei.

      Antara karya besar yang telah dihasilkan oleh A. Samad Said sekali gus mengakat namanya sebagai tokoh bidang sastera ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau iaitu Salina telah diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Selain itu, beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T.Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau.

       Selain menghasilkan penulisannya di atas kertas, A. Samad Said juga dilihat aktif dalam berkongsikan penulisan karya beliau melalui laman sosial Facebook. Hal ini kerana, penggunaan laman sosial seperti ini dilihat semakin relevan dan signifikan kepada pengguna dalam berkongsikan setiap aktiviti yang dilakukan bersama pengguna yang lain. A. Samad Said menggunakan medium Facebook ini bagi memudahkan beliau berkongsikan secara terus bersama pembaca dan pengguna Facebook yang lain disamping dapat berkongsikan pendapat dan cadangan. Selain itu, dapat juga menarik minat pembaca-pembaca dan memupuk serta melahirkan penulis-penulis baharu yang mempunyai minat dalam bidang sastera ini untuk mengenali bidang ini lebih mendalam lagi. Di samping itu, A. Samad Said juga sering berkongsikan hasil-hasil penulisan karya sastera penulis-penulis lain dan pengalaman beliau menghadiri majlis atau jelajah sastera. Melalui penulisan beliau itu dapat dilihat setiap bait-bait bahasa yang digunakan begitu puitis dan mengadungi estetika bahasa yang begitu tinggi. Melalui ruang Facebook beliau juga, dapat dilihat bahawa beliau juga sangat aktif dalam berkongsi hasil penulisannya melalui muat naik sajak-sajak dan puisi yang dihasilkan oleh beliau itu. Selain itu, dapat dilihat ramai dikalangan pembaca yang memberikan komen-komen yang positif dan memuji di setiap hasil karya penulisan yang dimuat naik oleh beliau serta berkongsikan “post” beliau itu. Ini dapat dilihat melalui muat naik statusnya pada tarikh 4 April 2018, beliau telah memuat naik dua rangkap puisi yang merujuk kepada keperluan wang. Hasil-hasil penulisan yang dimuat naik dan dikongsi oleh beliau lebih kepada karya puisi dan sajak. Bentuk penulisan puisi dan sajak beliau yang dimuat naik mengandungi kepanjangannya dan terdapat juga puisi dan sajak yang hanya dihasilkan dalam bentuk ayat yang ringkas dan pendek. Berikut dipaparkan skrin laman Facebook milik  A. Samad Said dan beberapa hasil penulisan yang dimuat naik oleh beliau di statusnya:





Berdasarkan paparan laman Facebook milik A. Samad Said menunjukkan beliau yang sangat aktif dalam menghasilkan penulisan karya sastera seperti puisi yang dikongsi oleh beliau melalui muat naik pada tarikh 4 April 2018, 2 April 2018 dan pada 22 March 2018. Melalui paparan ini juga dapat dilihat penghasilan penulisan A. Samad Said tidak bergantung kepada bilangan dan kepanjangan sesebuah penulisan. Cukup memadai dengan dua rangkap puisi yang memberi makna yang begitu mendalam kepada pembaca. Namun begitu, hasil penulisan puisi yang panjang juga memberi seribu makna tersirat yang cuba disampaikan melalui bait-bait ayat yang digunakan. Selain itu, dapat dilihat ramai dikalangan pembaca yang memberi tindak balas dan maklum balas terhadap setiap hasil penulis yang dimuat naik oleh Datuk A. Samad Said. Tambahan lagi ramai dikalangan pembaca yang berkongsikan “post” tersebut untuk rujukan dan simpanan mereka dan dapat dikongsikan dengan pembaca dan pengguna Facebook yang lain. Selain itu, hasil penulisan Datuk A. Samad Said yang dimuat naik di laman Facebook nya juga dinyatakan tajuk bagi setiap puisi atau sajak yang dihasilkan oleh beliau.



               

Berdasarkan paparan di atas, dapat dilihat hasil penulisan karya A. Samad Said banyak dikaitkan dengan watak-watak, unsur-unsur alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya. Beliau seolah-olah mencari makna dalam semuanya itu. Melihat dari sudut pemikiran beliau daripada karya-karya yang dihasilkan, A. Samad Said merupakan seorang yang sangat menekankan falsafah tentang kehidupan manusia yang penuh cabaran. Hal demikian kerana beliau sering menggunakan watak-watak hidup dalam penulisan beliau dan mengaitkannya dengan kesukaran yang dihadapi manusia ketika ini yang boleh dilihat melalui sajaknya yang bertajuk Sepadan Fisik. Kebanyakkan apabila dibincangkan atau diceritakan tentang perihal manusia yang perlbagai masalah secara terang-terangan boleh mencetuskan pergaduhan dan salah faham. Tetapi jika ianya disampaikan menggunakan bahasa yang halus seperti puisi atau sajak akan lebih kelihat berestetika dan sedap didengar atau dibaca. Justeru itu, dalam penulisan karya A. Samad Said banyak menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung. Di situlah letaknya keunikan karya sastera beliau. Yang paling penting, dalam menghasilkan sesebuah penulisan karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri dan kretiria tersebut ada pada A. Samad Said. Oleh itu, kesemua hasil karya A. Samad Said memperlihatkan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato yang mengemukakan pendapatnya mengenai seni, dan menyatakan bahawa seni merupakan hasil peniruan alam dengan segala seginya.


            Secara kesimpulannya, melalui pemerhatian terhadap aktiviti sastera yang dimuat naik oleh A. Samad Said di laman Facebook miliknya memaparkan pelbagai hasil penulisan karya sasteranya yang merangkumi puisi dan juga sajak serta perkongsian hasil-hasil penulisan karya dari penulis-penulis yang lain. Melalui laman Facebook milik beliau juga dilihat banyak memberi manfaat kepada pembaca dan mengerakkan pembaca untuk turut serta berkarya di ruang komen status yang dimuat naik oleh beliau. Keunikan dan keistimewaan serta keikhlasan yang dimiliki oleh A.Samad Said dalam berkarya sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda masa kini. Oleh itu, sebagai generasi yang bakal mewarisi segala penurunan ilmu seharusnya menjadikan medium yang tersedia ini sebagai langkah untuk mereka mempelajari dan mewarisi segala ilmu yang dikongsi oleh orang yang lebih berpengalaman dalam bidang sastera terutamanya.

                     



Jumaat, 13 April 2018

KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF PLATFORM PEMASARAN SASTERA


























PENGENALAN

KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF SDN.BHD. merupakan sebuah syarikat penerbitan yang terunggul pada masa ini. Setelah 33 tahun beroperasi, kini KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF SDN BHD memiliki dan menguasai teknologi tinggi percetakan serta penerbitan buku, akhbar dan majalah tanah air.

Kejayaan KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF adalah atas usaha dan penggemblengan tenaga syarikat-syarikat bersekutu di bawah naungannya. Peranan syarikat-syarikat ini amat besar dan penting sekali. Kesemua syarikat bersekutu ini telah menyerlahkan profesionalisme dan memberikan sumbangan besar dalam mengukuhkan lagi organisasi ini dari semasa ke semasa.

Syarikat-syarikat bersekutu Kumpulan Media Karangkraf ialah Alaf 21, Buku Prima, Karya Bestari dan Buku Pojok. Setiap penerbit masih mengekalkan imprint masing-masing tetapi dari aspek pengurusan, penerbitan, pemasaran dan juga penghantaran akan dikawal oleh pihak pengurusan Grup Buku Karangkraf untuk menjamin kualiti penerbitan pada tahap tertinggi. Grup ini menerbitkan pelbagai genre buku termasuk novel, buku pengetahuan umum, buku agama dan buku-buku lain mengikut minat pembaca.

Antara senarai buku penerbitan di bawah kumpulan Media Karangkraf adalah seperti berikut:


PENERBITAN ALAF 21

Mengandungi empat kategori utama, iaitu novel, kraf, umum, resepi.

1)  Novel
Novel yang diterbitkan oleh penerbitan Alaf 21 bercirikan novel-novel moden dengan memfokuskan kisah-kisah cinta. Penulis-penulisnya pula terdiri daripada penulis yang prolifik, mapan serta penulis masih baharu. Antara novel tersohor yang diterbitkan oleh Alaf 21 ialah:

i)  Mengukir Bahagia karya Hanis Fazuha
ii) Sehangat Asmara karya Aisyah Sofea
iii)Syurga di Hati karya Fatin Nabila
iv)Setulus Janji karya Aina Emir

2)  Kraf
Bagi kategori kraf pula, buku-buku yang difokuskan ialah buku yang berbentuk kemahiran meliputi kemahiran menjahit, melukis, solekan dan banyak lagi. Antara bukunya ialah:
i)  Variasi Solekan Air Brush oleh Azman Razali
ii)  Oh! Mudahnya Jahit Blaus oleh Asfarena
iii) Variasi Gubahan Hantaran oleh Nusra Rahmat
iv) Variasi Mengait untuk Si Comel oleh Idda Malisa & Idda Marlina

3)  Umum
Buku umum yang diterbitkan oleh Alaf 21 merangkumi semua bidang seperti matematik, rumah tangga, politik, sains, kesihatan dan sebagainya. Sebagai contoh:
i)  My Name is Hasmah oleh Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
ii) Fuiyoooo..Senangnya Matematik oleh Kipas Hikmat
iii) Anak-anak Abah oleh Nasari Noor
iv) Maafkan Umi Sayang oleh Nahari M. Arukin

4)  Resepi
Bagi individu yang gemar memasak, mereka boleh mendapatkan pelbagai buku berasaskan buku memasak terbitan Alaf 21. Contohnya ialah:
i)   Kek 5 Bahan oleh Suwarsi M. Arukin
ii)  Kuih Talam-Langkah Demi Langkah oleh Noraini Zakaria
iii) Lauk-Pauk Kampung oleh Norani Sidek
iv) Ketuk-ketuk Sheila Rusly 2016 oleh Sheila Rusly

Walau bagaimanapun, kategori novel yang diterbitkan oleh Alaf 21 yang hanya boleh dilihat dalam konteks sastera. Novel yang diterbitkan oleh Alaf 21 ini sememangnya memfokuskan novel cinta. Hal ini telah menjadi identiti novel Alaf 21, iaitu cinta sama ada cinta keluarga atau cinta sesama manusia. Penulis-penulis mapan juga menjadikan telah menjadikan Alaf 21 untuk menerbitkan novel mereka. Antaranya ialah Ramlee Awang Murshid, Anis Ayuni, Aisya Sofea, Fatin Nabila dan ramai lagi. Selari dengan peralihan zaman, golongan remaja memilih novel-novel terbitan Alaf 21 kerana penulisannya mampu mencengkam hati para pembaca muda kerana elemen cinta diketengahkan dalam novel ini. Dengan adanya penerbitan Alaf 21 ini, novel sastera moden dan disebarluaskan tanpa mengira umur ataupun warna kulit.




BUKU PRIMA

Karya-karya yang diterbitkan di bawah Penerbitan Buku Prima telah menyajikan pelbagai bentuk penulisan seperti genre novel dan bahan-bahan bacaan ilmiah kepada kanak-kanak atau para pelajar. Antara bahan yang diterbitkan untuk tujua pembelajaran kanak-kanak ialah Kad Imbas; Belajar bersama Ummi Jawi (3d Ar) dan Kad Imbas; Belajar bersama Ummi Abjad (3d Ar) dan Poster Sisrem Suria. Namun, apabila membincangkan karya-karya berkaitan sastera yang terdapat di bawah penerbitan Buku Prima, buku bertemakan seram lebih banyak diketengahkan oleh penerbitan ini. Antara bukunya ialah Banja Menggala (Ramlee Awang Murshid), Jampi (Murni Aqila), Menggunung (Helmi Affendi) dan Musibat (Naim Tadjis). Dengan penghasilan novel bercetak bertemakan seram, para penulis akan lebih menggarap idea mereka untuk memastikan naskhah yang dihasilkan itu benar-benar seram dan mengikuti lajur agama Islam yang telah ditetapkan. Kekreatifan seorang penulis semestinya ada dalam setiap penulisan yang dihasilkan.




KARYA BESTARI


Kumpulan Buku Karangkraf masih menitikberatkan pembacaan untuk tujuan makanan rohani, iaitu buku-buku keagamaan. Berbagai-bagai buku agama yang telah diterbitkan di bawah penerbitan Karya Bestari. Sebagai contoh, Al-Quran Al-Karim Amazing Perjilid, Bidadari be Extraordinary, Journey through The Quran dan banyak lagi. Maka, jika dilihat dalam konteks sastera Melayu, tidak ada buku-buku yang diterbitkan oleh Karya Bestari yang bercirikan karya sastera.


BUKU POJOK


Umumnya, buku pojok merupakan naskhah indi yang rata-ratanya dihasilkan oleh penulis-penulis muda dan baharu menceburkan diri dalam bidang ini. Dalam konteks sastera, buku pojok ini boleh dikategorikan sebagai karya sastera kerana hasilnya adalah dalam bentuk novel, tetapi bacaannya itu adalah lebih ringan. Buku pojok mempunyai cirinya yang tersendiri, iaitu gaya bahasanya yang lebih ke hadapan mengikuti bahasa sezaman dan isi ceritanya itu adalah lebih bebas. Ciri-ciri sebegini ternyata lebih digemari oleh anak-anak muda pada hari ini kerana isu yang diceritakan itu lebih santai dan mudah difahami. Malah, harganya pula adalah lebih murah berbanding novel-novel yang lain. Antara buku yang terbuat di bawah Buku Pojok ialah Anekdot...Dot...Dot... Goji Bundy, Kenching, Mak, Aku Ada Saka dan sebagainya.  



MEDAN PEMASARAN

Kumpulan Media Karangkraf sememangnya telah unggul dan diterima umum sejak zaman berzaman. Tambahan pula, Kumpulan Media Karangkraf jugalah yang mempunyai syarikat-syarikat bersekutu di bawahnya, dan hal telah membuatkan pengaruh Karangkraf dalam dunia penerbitan lebih luas dan jauh ke hadapan. Sungguhpun begitu, mereka masih perlu memastikan strategi pemasaran yang dibuat mampu menghasilkan pulangan yang memberangsangkan dan buku-buku terbitan Karangkraf ini mampu mendapat tempat di hati para khalayak pembaca. Berikut merupakan medan pemasaran buku terbitan Kumpulan Media Karangkraf, termasuklah buku-buku sastera:


1. Laman Web Rasmin Kumpulan Media Karangkraf (http://buku.karangkraf.com/) 
2.Facebook Kumpulan Media Karangkraf   
    (https://www.facebook.com/KumpulanMediaKarangkraf/)
3. Twitter Kumpulan Media Karangkraf (https://twitter.com/karangkraf?lang=en)
4. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)
5. Mini Karnival Karangkraf  2017
6. Jualan Gudang Karangkraf 2017
7. Pesta Buku Karangkaraf Online

Sesungguhnya, kita tidak dapat menyangkal lagi bahawa kewujudan Kumpulan Media Karangkraf ini telah menjadi salah satu platform yang efektif dalam menyebarluaskan sastera ke hati para pembaca di seluruh pelosok dunia.  

KAMU WANITA YANG HEBAT: APRESIASI & REPRESENTASI DALAM E-SAJAK

ELEMEN MULTIMEDIA DALAM E-SAJAK KARYA  PANJI RAMDANA (sumber:  https://www.youtube.com/watch?v=ayngavjs6WE ) Sajak s...